Prinsipal pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT), Datuk Razlan Razali mengakui beliau bersedia untuk membuka ruang perbincangan bagi mendapatkan khidmat Valentino Rossi sekiranya legenda berusia 40 tahun itu sendiri berjumpa dengan pihaknya.

Pasukan satelit Yamaha itu perlu untuk mencari pengganti sesuai buat pelumba sedang meningkat naik, Fabio Quartararo yang sudah mengesahkan penghijrahannya ke Yamaha Factory Racing MotoGP Team bagi menghadapi musim 2021.

Menurut sumber Berita Harian (BH) Online, PETRONAS Yamaha SRT masih kekal tenang dan Datuk Razlan turut mendedahkan masih tiada sebarang perbincangan diadakan bersama juara dunia sembilan kali itu.

Sebagai jenama tempatan, beliau juga mahu memberikan keutamaan kepada pelumba daripada Malaysia yang cemerlang di saingan Moto2 nanti bagi diserapkan ke dalam pasukan tersebut.

“Setakat ini, kami masih tidak mempunyai apa-apa perancangan. Kami masih melihat siapakah yang layak memasuki pasukan kami.”

”Sudah tentu, keutamaan kepada pelumba Malaysia yang berpotensi dan mempunyai prestasi yang baik di Moto2 untuk layak menyertai pasukan ini,” ujar Datik Razlan mengulas perkara ini kepada wakil BH Online.

“Mengenai Valentino Rossi, andai dibaca, ada artikel yang mengatakan dia mahu ke pasukan ini. Ini satu penghormatan buat pasukan tetapi kami masih belum ada perbincangan atau masih belum mempunyai niat untuk mengambil dia setakat ini.”

“Adakah ada kemungkinan? Bagi saya, ia berkemungkinan sekiranya Rossi sendiri berjumpa dengan kami dan membincangkan minatnya untuk menyertai pasukan, di situ barulah kami buka ruang perbincangan, bukan saja bersama Rossi tetapi juga PETRONAS secara keutamaannya.”

“Selain Rossi ataupun pelumba Malaysia yang ada (di Kejuaraan Motosikal Dunia), kami juga akan melihat pelumba di (saingan) Moto2 yang pasukan boleh bangunkan sebagaimana dilakukan pasukan terhadap Quartararo sebelum ini.”

Musim 2019 menyaksikan Valentino Rossi menamatkan saingan di tempat ketujuh selepas berjaya mengutip 174 mata. 19 perlumbaan yang dilaluinya, beliau berjaya dua kali menduduki podium tempat kedua ketika di Argentina dan Amerika Syarikat.

Sementara itu bagi kategori pasukan pula, PETRONAS Yamaha SRT berada di tempat keempat apabila mengumpul 307 mata.

Kredit foto: motogp.com