Ketika review ini ditulis, Babi! – sebuah drama politik yang diarah oleh Shaiful Yahya dan diterbit oleh June Wong – sedang menjadi buah mulut netizen di Malaysia.

Babak berdurasi 2 minit 16 saat yang menampilkan Amerul Affendi sebagai drebar seorang ahli politik berpangkat Datuk ini mendapat lebih 12,700 ulang ciapan dan 12,500 sukaan di Twitter.

Ramai netizen yang bertanya di mana mereka boleh menyaksikan Babi! secara penuh. Kami tak suka jadi penyampai berita sedih. Tapi kami kena beritahu anda bahawa Babi! merupakan salah satu episod sulung (pilot episode) yang terkandas dalam Hooq Filmmakers Guild 2019.

Dalam Hooq Filmmakers Guild, sebanyak lima drama bersiri akan menerima USD$40,000 (RM176,252) masing-masing untuk menghasilkan pilot episode.

Bersaing dengan She’s a Terrorist and I Love Her (Singapura), Klenix (Indonesia), Lucky Girl dan Split Second (Thailand), Babi! merupakan satu-satunya wakil dari Malaysia.

Menurut maklumat dalam laman sesawang Hooq, pilot episode yang berjaya akan diberi bajet untuk menghasilkan drama satu musim penuh di platform strim video Asia, Hooq.

Hooq dimiliki oleh syarikat Singapura, SingTel, Sony Pictures Television dan Warner Bros. Ketika ini Hooq hanya beroperasi di Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura dan India.

Pada Jun 2019 lepas, Hooq mengumumkan drama komedi gelap (dark comedy) Singapura, ‘She’s a Terrorist and I Love Her’ sebagai pemenang Hooq Filmmakers Guild 2019. Babi! menjadi salah satu pilot episode yang gagal diangkat menjadi drama penuh satu musim.

Sinopsis

Babi! menceritakan tentang percubaan seorang ahli politik di Malaysia, Datuk Hamdan Idris (Hasnul Rahmat) untuk menyelamatkan diri dan keluarganya dari dakwaan rasuah selepas tewas dalam pilihan raya umum.

Untuk menyelamatkan dirinya, Datuk Hamdan dengan bantuan Faz (Amerul Affendi) dan anak perempuannya, Aquila (Sharifah Aryana) melakukan empat langkah tipikal: rasuah, musnahkan bukti, sembunyikan duit dan lari ke luar negara.

Tetapi apabila gagal, Datuk Hamdan mengambil keputusan drastik untuk keluar politik dan memulakan perniagaan trak makanan menjual nasi lemak salted egg.

Nafas segar dalam arena ‘drama Melayu’

Babi! mungkin bukan drama Melayu yang ‘betul-betul Melayu’ kerana beberapa sebab. Pertama, Babi! merupakan drama politik thriller – satu sub-genre yang mungkin asing bagi peminat drama Melayu tipikal di TV.

Kedua, hampir 70% skrip dalam pilot episode Babi! menggunakan bahasa Inggeris. Mungkin lebih tepat sebenarnya jika Babi! diklasifikasikan sebagai drama Malaysia berbanding drama Melayu.

Tetapi dalam review, kami tetap mengklasifikasikan Babi! sebagai drama Melayu kerana ia drama yang memaparkan realiti sebenar gaya hidup ahli politik Melayu di Lembah Klang.

Kami berpendapat bahasa Inggeris banyak digunakan dalam pilot episode ini kerana banyak babak berkisar di sekitar rumah Datuk Hamdan – medium bahasa utama yang digunakan oleh Datuk Hamdan dan keluarganya untuk berkomunikasi.

Datuk Hamdan (Hasnul Rahmat) dan isterinya Bella Chu (Chelsia Ng) berkomunikasi dalam bahasa Inggeris di rumah. (Tangkap layar dari Babi!)

Sebagai drama Melayu, Babi! adalah nafas baru. Selepas berdekad-dekad mulut kita disesakkan dengan ‘asap’ soap opera yang busuk, Babi! bagaikan nafas pertama hari pertama anda tanpa rokok.

Skripnya segar. Plotnya segar. Sinematografinya segar. Menonton pilot episode Babi! umpama menonton filem berdurasi 47 minit. Bayangkan jika Babi! berjaya diangkat menjadi drama satu musim penuh. Satu musim kita bagi 13 episod. Ia bagaikan menonton 13 filem.

Sesetengah orang mungkin tidak menggemari penggunaan bahasa kasar yang berlebihan dalam Babi! Tetapi jika realiti masyarakat menunjukkan masyarakat memang menggunakan bahasa kasar dalam percakapan seharian, mengapa Babi! perlu menggunakan bahasa baku?

Plot Babi! juga mempunyai ruang yang cukup luas untuk dikembangkan terutamanya bagi karakter Datuk Hamdan, Aquila dan Faz. Ia juga mudah diikuti dan nampak tidak terlalu mencuba menjadi avant-garde.

Di akhir pilot episode ini, penonton akan tertanya-tanya: mengapa Datuk Hamdan ada menyimpan sekeping kertas resepi salted egg?

Aspek paling cemerlang dalam Babi! adalah kecemerlangan pelakon utama, Hasnul Rahmat yang membawa watak Datuk Hamdan. Chelsia Ng yang membawa watak isterinya, Bella Chu juga memberikan persembahan baik meskipun masih banyak emosi yang belum diuji.

Kecemerlangan Amerul Affendi yang membawa watak Faz adalah kejutan yang dialu-alukan. Malah tak keterlaluan untuk kami katakan, Faz wajib diangkat menjadi salah satu watak utama drama ini. Beliau berpotensi membuat Babi! jadi dekat dengan majoriti penonton drama Melayu tipikal di TV.

Ada potensi membosankan penonton

Review Babi! tidak lengkap jika kita tak bercakap tentang kelemahan utamanya – titik pandangnya.

Berdasarkan pilot episode yang kami review, hampir 90% plot Babi! diceritakan dari titik pandang Datuk Hamdan. Ini membuatkan perjalanan plot pilot episode Babi! ada kalanya nampak membosankan.

Adalah lebih menarik jika plot Datuk Hamdan untuk lari dari pendakwaan diceritakan dari titik pandang musuh politiknya, pihak polis atau pihak pendakwaraya di Pejabat Peguam Negara.

Turut boleh menarik perhatian adalah reaksi dalam kem parti politik Datuk Hamdan susulan kekalahannya dalam pilihan raya umum.

Tetapi kami faham. Dengan bajet hanya RM176,000, mungkin sukar bagi pengarah Shaiful Yahya untuk menceritakan kisah Datuk Hamdan dari titik pandang watak lain.

Jelas sekali keutamaan Shaiful dalam pilot episode ini adalah menyewa set yang sepadan dengan gaya hidup mewah Datuk Hamdan seperti rumah mewah, kereta mewah dan jet peribadi.

Satu-satunya kelemahan plot yang kami kesan adalah apabila Aquila membuang plastik sampah yang berisi dokumen yang sudah dikoyakkan di depan rumah mereka, di depan polis.

Anak Datuk Hamdan, Aquila (Sharifah Aryana) membuang sampah dokumen di depan polis. (Tangkap layar dari Babi!)

Dalam dunia sebenar, dokumen yang sudah dikoyak ini masih boleh dikutip oleh pihak polis untuk dijadikan bahan bukti pendakwaan. Kesilapan ini akan menggagalkan usaha bapa Aquila untuk lari sebelum beliau merancang pun.

Babi! perlu dibangkitkan

Meskipun Babi! gagal diangkat menjadi drama satu musim penuh oleh Hooq, potensinya terlalu besar untuk sekadar menjadi pilot show yang gagal.

Reaksi netizen di Twitter dan YouTube sangat menggalakkan. Adalah sangat sedih jika drama ini tidak diangkat dan dibangunkan oleh platform strim video lain.

Satu perkara yang pasti, satu-satunya pilihan Babi! untuk mengekalkan kebebasan artistik dan mengekalkan tajuk tersebut adalah dengan menayangkannya di platform strim video. Tetapi untuk melakukannya, Babi! memerlukan penerbit yang percaya dengan projek drama ini.

Tanpa penerbit, Babi! akan sekadar menjadi angin segar di Malaysia – kehadirannya dirasai tetapi tiada siapa mengingatinya.

Rating Rencah: 7/10

Tonton pilot episode penuh Babi! dalam video di bawah:

Baca juga artikel kami yang lain mengenai filem: