Sir Alexander Chapman Ferguson, lebih dikenali sebagai Alex Ferguson meninggalkan Manchester United pada akhir musim 2012-2013. Pada musim tersebut, United menjuarai Premier League buat kali ke-20, dengan Ferguson memimpin mereka untuk kejuaraan ke-13.

Kemenangan liga ke-20 ini merupakan rekod bagi mana-mana pasukan bola sepak yang bertanding di peringkat Premier League. Musim tersebut, Ferguson bergantung sepenuhnya kepada 26 jaringan penyerang prolifik Robin van Persie. Pembelian penyerang tersebut dianggap penyembuh luka kekalahan musim sebelumnya, hanya tewas kepada perbezaan jaringan.

Namun begitu, pengurus-pengurus selepas Ferguson gagal membawa obor yang dimulakan beliau. Bayangkan, sejak Premier League dimulakan pada tahun 1992, pengurus berkarisma ini tidak pernah menduduki tempat keempat. Maka, strategi pengurus selepas beliau yang hanya mengejar kelayakan ke Champions League amat memalukan.

Nama-nama besar seperti Jose Mourinho dan Louis van Gaal merupakan antara pengurus selepas beliau. Begitu juga dengan pengurus berpengalaman seperti David Moyes dan bekas pemain lagenda mereka Ole Gunnar Solskjaer. Ini kisah £43 juta (RM240 juta) yang dibelanjakan United, hanya untuk memecat pengurus mereka.

David Moyes

Kredit gambar: The Irish Times

Pengurus West Ham United ini merupakan pengganti pertama Sir Alex Ferguson. Ketika itu, David Moyes telah mengemudi Everton selama sepuluh tahun.

Digelar sebagai ‘The Chosen One’ kerana dipilih sendiri oleh Sir Alex. Namun begitu, mewarisi pemain di kedudukan pertama liga tidak mampu membawa sebarang tuah buat Moyes.

Hanya sepuluh bulan kemudian, David Moyes dipecat daripada jawatannya apabila gagal untuk layak ke Kejohanan Eropah. Manchester United menamatkan kempen 2013-2014 di tempat ketujuh, kedudukan liga paling teruk sejak penglibatan mereka di dalam EPL.

Moyes dibayar sebanyak £4.9 juta atas pemecatannya.

Louis van Gaal

Kredit gambar: The Independent

Louis van Gaal merupakan seorang pengurus berprofil tinggi dari Belanda. Beliau merupakan bekas pengurus Ajax, Barcelona, AZ Alkmaar dan Bayern Munich. Selain berpengalaman luas mengemudi kelab, van Gaal juga pernah menjadi pengurus pasukan kebangsaan Belanda sebanyak tiga kali.

Selepas pemecatan David Moyes, van Gaal diumumkan sebagai pengurus baharu Manchester United. Beliau menandatangani kontrak selama tiga tahun dan berbelanja besar. Antara pemain yang dibeli termasuklah Ander Herrera, Luke Shaw, Marcos Rojo, Ángel Di María, Daley Blind dan Radamel Falcao.

Formasi 3-5-2 kegemaran van Gaal diperkenalkan dan Manchester United berada di tempat keempat bagi musim 2014-2015. Bagi musim kedua, beberapa pemain lagi ditandatangani oleh van Gaal seperti Memphis Depay, Matteo Darmian, Sergio Romero, Morgan Schneiderlin, Bastian Schweinsteiger dan Anthony Martial.

Satu-satunya piala yang dimenangi oleh van Gaal ialah Piala FA pada musim 2015-2016. Beliau dipecat dua hari selepas memenangi trofi tersebut dan dibayar sebanyak £8.44 juta sebagai pampasan.

Jose Mourinho

Kredit gambar: Bleacher Report

José Mourinho menandatangani kontrak selama tiga tahun bagi menjadi pengurus Manchester United. Pada musim 2016-2017 tersebut, United memenangi trofi EFL Cup selepas menyingkirkan Manchester City pada pusingan awal.

Pada musim yang sama juga, Manchester United bersaing di saingan Europa League dan memenangi kejohanan tersebut. Ia kekal sebagai trofi terakhir yang dimenangi United sehingga hari ini.

Pada musim Premier League 2017-2018, Mourinho berjaya membawa United di tangga kedua. Ia merupakan kedudukan terbaik United di liga pasca Sir Alex. Bagaimanapun United terkandas di pusingan kalah mati Champions League kepada Sevilla. Mourinho juga berjaya membawa United ke perlawanan akhir FA Cup, namun tewas kepada kelab lamanya Chelsea.

Memasuki musim Premier League 2018-2019, Mourinho gagal mengekalkan rentaknya. Hanya merekodkan tujuh kemenangan daripada 17 perlawanan liga menyebabkan Mourinho dipecat daripada jawatan tersebut.

Sebanyak £19.6 juta pampasan dibayar kepada pengurus berbangsa Portugal ini.

Ole Gunnar Solskjaer

Kredit gambar: MEN

Pengurus terakhir yang dipecat oleh Manchester United ialah bekas pemain lagenda mereka sendiri. Ole bermula garang apabila mengambil alih United daripada pertengahan musim 2018-2019. 

14 daripada 19 perlawanan pertamanya dimenangi oleh Ole. Bermula sebagai pengurus interim, permulaan cemerlang ini berjaya memberikannya kontrak sebagai pengurus. Namun, ia tidak bertahan lama. Musim tersebut, United kekal di tangga keenam liga, sama seperti kedudukan ketika Jose Mourinho meninggalkan mereka. 

Bagi musim keduanya, United bermula hambar dengan 10 mata daripada 9 perlawanan pertama. Kehadiran Bruno Fernandes bagaimanapun mengubah rentak dan corak permainan United. Pasukan tersebut kekal tidak tewas dengan 32 mata untuk 14 perlawanan seterusnya.

Pada musim itu, Manchester United ditewaskan di tiga semi final iaitu EFL Cup, FA Cup dan Europa League. Pada penghujung musim, United menamatkan saingan di tangga ketiga liga dengan 66 mata, sama seperti musim lalu.

Permulaan musim 2020-2021 melihatkan kemalapan. Tujuh mata daripada enam perlawanan pertama, termasuklah dibenam 1-6 di Old Trafford kepada Tottenham Hotspur.

Ole membawa United bangkit dengan lapan kemenangan daripada 10 perlawanan seterusnya. Namun, musim tersebut hanya berakhir dengan kedudukan kedua liga.

Pada musim 2021-2022, Ole melepaskan jawatan selepas United bolos 15 gol dalam lima perlawanan liga. Ole dibayar hampir £10 juta akibat penamatan kontrak ini.