Apa yang anda belajar di universiti sekarang besar kemungkinan tidak akan menjadi karier anda. Ini kerana menurut tinjauan yang dibuat oleh YouGov baru-baru ini, 51% graduan lepasan ijazah di Malaysia bekerja dalam bidang yang tak berkaitan dengan ijazah mereka. Baki 49% pula bekerja dalam bidang yang berkaitan dengan ijazah yang dipelajari.

Statistik ini diperolehi melalui tinjauan yang dilakukan oleh YouGov Omnibus terhadap 692 graduan lepasan ijazah di Malaysia.

Graduan IT cenderung kekal dalam bidang

Bagaimanapun hasil tinjauan ini berbeza-beza mengikut jurusan ijazah.

Rakyat Malaysia yang belajar dalam jurusan IT dan teknologi komunikasi mempunyai kebarangkalian lebih tinggi untuk bekerja dalam bidang yang dipelajari berbanding mereka yang belajar dalam jurusan perniagaan, pentadbiran dan undang-undang.

58% lepasan ijazah IT dan teknologi komunikasi bekerja dalam bidang yang berkaitan dengan ijazah mereka. Manakala bagi lepasan ijazah perniagaan, pentadbiran dan undang-undang, hanya 39% masih bekerja dalam industri yang relevan dengan ijazah mereka.

Graduan luar negara cenderung kekal dalam bidang

Faktor-faktor lain juga mempengaruhi kebarangkalian rakyat Malaysia bekerja dalam bidang ijazah yang mereka pelajari. Graduan universiti luar negara (56%), seperti contoh, lebih tinggi kebarangkaliannya untuk belajar dalam bidang yang relevan dengan ijazah berbanding graduan dalam negara (48%).

56% graduan universiti luar negara cenderung untuk bekerja dalam bidang yang dipelajari. (Foto: Australia in Malaysia)

Pekerja muda berusia antara 25-34 tahun (47%) pula mempunyai kecenderungan untuk bekerja dalam bidang luar ijazah mereka berbanding pekerja berumur 45-54 tahun (59%).

Secara keseluruhannya, 62% rakyat Malaysia mendapati ijazah yang mereka pelajari ‘sangat berguna’. 35% lagi berpendapat ijazah mereka ‘berguna’. Manakala baki 4% merasakan ijazah mereka ‘tidak berguna’.

Dari segi pemilihan ijazah pula, pengaruh ibu bapa nyata sangat dominan. 49% graduan mengatakan mereka dipengaruhi ibu bapa ketika memilih jurusan ijazah. 32% dipengaruhi oleh rakan-rakan. 25% dipengaruhi oleh guru. Hanya 28% sahaja yang memilih ijazah pilihan mereka sendiri.

77% majikan tidak kisah ada ijazah atau tidak

97% rakyat Malaysia bersetuju ijazah adalah penting. Tetapi bagi majikan, pendapat ini tidak dikongsi. Hanya 23% majikan yang tidak berminat untuk menggaji seseorang yang tidak mempunyai ijazah. Selebihnya berpendapat ada ijazah atau tidak, mereka masih berminat untuk mengambil sebagai pekerja.