Apabila membincangkan tentang perkhidmatan feri, pastinya Pulau Pinang menjadi topik utama. Mana tidaknya, feri di Pulau Pinang merupakan perkhidmatan yang sangat ikonik.

Selain itu juga, ia merupakan sistem pengangkutan tertua di Pulau Pinang. Selama 128 tahun, perkhidmatan feri bermula sebagai laluan utama yang menghubungkan Seberang Perai untuk ke bahagian pulau atau sebaliknya.

Hanya selepas pembinaan Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim, ia mula beransur dilupakan. Perkhidmatan feri juga biasa digunakan antara Kuala Kedah dan Kuala Perlis dengan Pulau Langkawi.

Namun begitu, tahukah anda pada tahun 1980-an terdapat perkhidmatan feri dari Pelabuhan Kuantan ke Pulau Borneo? Sekiranya Feri Malaysia masih wujud, sudah pasti terdapat persaingan harga kepada tiket kapal terbang. Mana tidaknya, tanpa persaingan berlakulah monopoli dan ketidaktentuan harga yang dikawal oleh kehendak pasaran semata-mata.

Dinamakan sebagai Feri Malaysia, ini kisah pengangkutan air tersebut.

Idea Perdana Menteri

Kredit gambar: Carlist

Perkhidmatan feri merupakan pengangkutan yang menghubungkan negara-negara Scandinavian seperti Finland, Norway dan Denmark. Maka, Perdana Menteri melihat kepada keperluan pengangkutan serupa untuk menghubungkan Semenanjung Malaysia dan Pulau Borneo.

Matlamatnya ialah supaya wujud satu khidmat pengangkutan alternatif bagi “merapatkan hubungan antara penduduk Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak”. Perkhidmatan yang ditawarkan oleh feri ini berbentuk kapal persiaran, selain boleh membawa muatan penumpang dan kargo.

Sebelum pembelian feri dibuat, Jabatan Perdana Menteri telah memilih syarikat perkapalan Perbadanan Nasional Shipping Line Berhad (PNSLB) bagi menjalankan kajian tentang idea Feri Malaysia. Kemudian, pada Jun 1984 PNSLB telah menubuhkan anak syarikat yang diberi nama sebagai Syarikat Feri Malaysia Sdn. Bhd. sebagai pelaksana projek.

Setelah Jemaah Menteri meluluskan projek ini, maka sebuah feri telah dibeli dari Helsinki, Finland. Menurut laporan, pembelian tersebut bernilai RM50 juta.

Kerja-kerja membaikpulih serta menaiktaraf feri ini mengambil masa selama 2 tahun untuk disiapkan. Feri Malaysia telah didaftarkan secara rasmi di Pelabuhan Klang pada tahun 1986 yang mana feri tersebut telah dinamakan sebagai Cruise Muhibbah.

Berlabuh di Pelabuhan Kuantan

Kredit gambar: Carlist

Selepas sebulan feri tersebut berlayar dari Helsinki, Finland, feri ini akhirnya sampai di Pelabuhan Klang pada 6 Ogos 1986. Cruise Muhibbah mencatat sejarah sebagai sebuah feri persiaran yang pertama dan terbesar milik kerajaan Malaysia. Ia memiliki berat 7,900 tan, dengan panjang 134 meter dan mampu untuk berlayar selaju 19 batu nautika.

Selain itu juga, feri ini mempunyai kemudahan setaraf percutian mewah seperti feri persiaran yang lain di dunia. Cruise Muhibbah ini juga boleh membawa kira-kira 700 orang penumpang serta lebih 100 buah kenderaan dalam satu masa.

Kemudahan yang disediakan termasuklah restoran, kafeteria, kolam renang, bar, disko, surau, bilik mesyuarat dan kabin tempat tidur. Sultan Pahang pada ketika itu, Sultan Ahmad Shah kemudiannya berkenan melancarkan perkhidmatan Feri Malaysia pada 31 Ogos 1986 di Pelabuhan Kuantan, Pahang.

Perjalanan pertama feri ini adalah bermula dari Pelabuhan Kuantan ke Kuching, Sarawak. Seterusnya, feri ini meneruskan perjalanannya ke Kota Kinabalu, Sabah. Jangkamasa perjalanan yang diambil ialah selama dua hari bagi keseluruhan perjalanan Kuantan ke Kota Kinabalu.

Kerosakan dan pengakhiran

Hanya setahun kemudian, perkhidmatan Feri Malaysia diduga dengan insiden kebakaran enjin. Sewaktu kejadian tersebut berlaku iaitu pada 18 Oktober 1987, terdapat hampir 300 orang penumpang di dalamnya.

Pada ketika itu, feri sedang menghampiri Pelabuhan Kuantan dari Pelabuhan Kota Kinabalu. Lokasi kejadian kira-kira 5km dari Pulau Tioman. Kesemua penumpang berjaya diselamatkan oleh dua buah kapal muatan kargo yang kebetulan berada di tempat kejadian.

Setelah kebakaran berjaya dikawal, feri ini dikatakan terbiar di kawasan tersebut untuk seketika. Selepas itu, operasi Feri Malaysia ini disambung semula untuk seketika. Pada tahun 1989, operasi feri ini menemui kegagalan.

Menurut laporan media, kos mengendalikan feri ini jauh lebih tinggi berbanding keuntungan. Ini kerana, feri yang dibeli merupakan feri yang telah berusia 16 tahun dan memerlukan kepada penyelenggaraan yang berkala. Kos alat ganti juga sangat tinggi.

Akhirnya, perkhidmatan Feri Malaysia ini melabuhkan tirainya pada tahun 1989.