Casio mula beroperasi sebagai Kashio Seisakujo pada bulan April 1946, diasaskan oleh Tadao Kashio. Beliau merupakan seorang jurutera teknologi fibrakasi.

Hari ini, Kashio Seisakujo dikenali di seluruh dunia sebagai Casio Computer Company Ltd, sebuah syarikat gergasi yang mengeluarkan peralatan elektronik. Syarikat Casio mengeluarkan pelbagai jenis peralatan elektronik seperti jam tangan, jam dinding, kamera digital, alat muzik, mesin pencetak dan lain-lain.

Pada tahun lalu sahaja, sebanyak $2.474 bilion jualan dihasilkan oleh Casio dengan keuntungan yang dicatatkan sebanyak $155 juta. Namun begitu, tahukah anda barangan yang pertama dihasilkan oleh Casio bukanlah berkaitan teknologi elektronik?

Ini kisah barangan pertama yang dihasilkan oleh gergasi elektronik ini.

Ciptaan pertama Kashio: cincin pemegang rokok

Kredit gambar: Heaven Raven

Seperti mana-mana perniagaan yang lain, asas utama kepada peniaga yang berjaya adalah menyelesaikan masalah. Tahun pertama Kashio beroperasi adalah tahun pertama selepas Perang Dunia Kedua. Tadao disertai oleh adiknya Toshio yang gemarkan ciptaan berdasarkan idea baru.

Kekalahan Jepun di dalam perang ini menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan barangan asas. Rokok, tidak terkecuali. Maka, pada ketika itu rokok akan dihisap sehingga ke hujung puntungnya bagi mengelakkan pembaziran.

Cincin pemegang rokok ciptaan Kashio ini digelar sebagai Yubiwa Pipe. Ia membolehkan perokok terus menghisap rokok tanpa perlu memegangnya. Selain itu juga, tiada risiko bibir melecur kerana puntung rokok tersebut akan terletak pada cincin tersebut.

Atas penyelesaian masalah masyarakat Jepun ketika itu, Yubiwa Pipe mendatangkan keuntungan berlipat kali ganda. Tadao dan Toshio tidak menoleh ke belakang lagi.

Kalkulator pertama dunia yang mahu diperbetulkan

Kredit gambar: Low Tech Mag

Ketika mengunjungi pameran perniagaan di Ginza, Tokyo pada tahun 1949, Tadao tertarik dengan ciptaan kalkulator mekanikal. Namun, idea beliau tentang kalkulator adalah lebih radikal tetapi memudahkan pengguna.

Tadao dan Toshio mula berusaha untuk merekacipta kalkulator dengan menggunakan elektrik. Lima tahun kemudian, selepas sepuluh buah prototaip, Kashio Seisakujo membawa kalkulator pertama ciptaannya kepada pelabur yang berminat.

Namun begitu, idea pertama mereka ditolak mentah-mentah oleh Bunshodo Corporation. Ini kerana, ciptaan tersebut tidak mampu menyelesaikan tugas darab yang berterusan. Maka, Kashio terpaksa merombak idea tersebut.

Kejayaan kalkulator kedua dan Casio 

Kredit gambar: YouTube

Kali ini, syarikat Kashio Seisakujo disertai oleh dua lagi adik Kashio iaitu Kazuo dan Yukio. Sama seperti idea pertama, Tashio mula merancang kalkulator kedua mereka. Yukio yang memiliki kelulusan kejuruteraan mekanikal membantu Tashio untuk melakar pelan tersebut. Tadao dan Kazuo pula menyelesaikan pengeluaran ciptaan mereka.

Pada tahun 1956, iaitu enam tahun selepas ciptaan mereka yang pertama, adik beradik Kashio ini telah berjaya menyelesaikan masalah darab berterusan. Selepas itu, timbul masalah baru iaitu bagaimana untuk mengeluarkan kalkulator ini secara besar-besaran.

Akhirnya, penggunaan solenoid pada kalkulator tersebut dibuang dan digantikan dengan relay. Ia kekal menjadi ciptaan terpenting yang membawa kejayaan kepada Kashio Seisakujo.

Pada tahun 1957, mereka menembusi pasaran dunia. Casio Computer Company Ltd merupakan pelopor kepada kalkulator berteknologi relay yang pertama di dunia, menggantikan kalkulator mekanikal.