Susu merupakan salah satu jenis minuman yang tinggi khasiatnya. Ia memiliki khasiat yang baik dan sesuai untuk diamalkan pengambilannya setiap hari. Minuman ini mengandungi pelbagai nutrisi yang diperlukan oleh tubuh badan manusia seperti kalsium, protein, vitamin dan mineral.

Pilihan yang terbaik semestinya susu segar, namun begitu terdapat beberapa sebab yang mungkin menjadikan ianya bukanlah pilihan yang baik untuk anda. Pemilihan susu sebenarnya perlulah bersesuaian dengan keperluan dan gaya hidup anda.

Ada juga pengguna yang menggemari susu UHT dan susu tepung. Namun begitu, elakkan susu yang terlalu manis dan mengandungi kandungan karbohidrat melebihi 5g bagi setiap hidangan 100g. Kadangkala, susu yang manis ini ditambah dengan perisa atau gula yang tersembunyi. Nama-nama lain pemanis seperti sukrosa, pepejal sirap glukosa, maltodekstrin, pepejal sirap jagung, sukrosa, dekstrosa mungkin boleh mengelirukan anda.

Berikut merupakan perbezaan antara jenis-jenis susu yang terdapat di pasaran.

Susu segar (fresh milk)

Kredit gambar: Brand Care

Susu segar adalah pilihan terbaik antara susu yang ada di dalam pasaran. Terdapat dua jenis susu segar yang terdapat di dalam pasaran iaitu susu segar yang dipasteur dan susu segar UHT.

Susu segar yang dipasteur (pasteurisation) melalui kaedah pemanasan yang berbeza dengan susu UHT. Suhu pemanasan antara julat 72-85°C selama 10 hingga 15 saat. Proses tersebut menyebabkan peratusan kecil organisma yang tidak berbahaya kepada manusia masih hidup dan mengekalkan nutrisi susu tersebut.

Namun begitu, ia perlu disimpan sejuk, mempunyai tarikh luput yang pendek dan tempoh penggunaan selama beberapa hari sahaja selepas dibuka.

Susu segar UHT pula melalui kaedah pemanasan Ultra High Temperature antara julat suhu 135-145°C selama 2 hingga 4 saat. Sebanyak 99.9 peratus organisma dihapuskan semasa proses UHT, namun ia juga menyebabkan kandungan nutrisi susu tersebut berkurangan.

Perbezaan paling ketara adalah ia boleh terus dipek dan disimpan di dalam suhu bilik sebelum dibuka. Ia juga mempunyai tarikh luput yang lebih lama, sekitar satu hingga enam bulan berbanding susu segar yang dipasteur.

Susu penuh krim (full cream/whole milk)

Kredit gambar: Wanista

Susu penuh krim (full cream) mengandungi peratusan lemak yang paling tinggi, iaitu sekitar 3.8% secara purata. Perbezaan susu penuh krim dengan susu-susu yang lain adalah, setiap 100 ml susu ini mengandungi 3.3 gram protein, 4.7 gram karbohidrat dan 3.9 gram kandungan lemak.

Rasa susu yang sedap, lemak dan berkrim ini menjadikan segelas susu ini mengandungi 66.9 kalori. Susu penuh krim mempunyai kandungan omega-3 yang tinggi. Omega-3 penting dalam penjagaan kesihatan jantung dan saluran darah. Rasa lemak dan berkrim susu ini menyebabkan ia menjadi susu paling digemari di luar sana.

Susu rendah lemak (low fat milk)

Kredit gambar: Shopee

Perbezaan susu rendah lemak dengan susu krim penuh adalah mempunyai kandungan lemak yang rendah namun tak bermakna ia tidak berkhasiat. Susu rendah lemak mempunyai kandungan lemak kurang daripada 1%.

Susu jenis ini juga mengandungi kandungan kalsium yang lebih tinggi serta kalori yang lebih rendah. Ini menjadikan susu rendah lemak sesuai diminum oleh individu yang ingin menurunkan berat badan.

Ia melalui proses centrifugation yang merujuk kepada proses membuang lapisan lemak berkrim yang biasa ada pada susu yang belum diproses. Proses ini menghasilkan susu yang kurang tumpat dan kurang kandungan lemak.

Susu skim (skim/fat free milk)

Kredit gambar: Happy Fresh

Susu skim juga mengandungi kandungan lemak yang rendah, namun ia jauh lebih rendah berbanding susu rendah lemak. Ia memiliki jumlah lemak yang paling rendah berbanding susu-susu lain, iaitu sekitar 0.15% sahaja.

Ia melalui proses skimming yang membuang krim di dalam susu tersebut. Susu ini akan kelihatan lebih cair berbanding susu jenis lain.

Susu jenis ini juga diperkaya dengan nutrisi tetapi dengan manfaat kalori rendah. Maka, ia adalah pilihan sesuai jika anda memerlukan nutrisi susu tetapi tidak mahukan kalori berlebihan.

Susu daripada tumbuhan

Kredit gambar: Statista

Terdapat banyak alternatif kepada produk tenusu daripada haiwan seperti susu soya, oat dan kacang badam. Mengikut kajian Statista, susu kacang badam merupakan alternatif paling popular.

Minuman susu kacang badam dilihat sudah menjadi trend masyarakat masa kini yang mengamalkan diet berasaskan tumbuh-tumbuhan. Pengeluar susu menawarkan pelbagai pilihan menarik minuman berasaskan kacang badam seperti Farm Fresh, Good Vibes, 137 Degrees, Almond Breeze dan banyak lagi.

Kajian menunjukkan kacang badam ini mengandungi 50 peratus asid lemak tidak tepu dan rendah kalori. Maka, secawan susu kacang badam mengandungi 39 kalori berbanding 78 kalori secawan susu tanpa lemak.

Namun begitu, harga susu kacang badam adalah paling mahal di dalam pasaran berbanding susu-susu lain.