Smiggle sejak akhir-akhir ini telah menjadi mimpi ngeri ibu bapa dek kerana harganya yang mahal. Siapa yang ada anak-anak di sekolah rendah terutamanya yang tinggal di bandar pasti tahu tentang jenama Smiggle – sebuah jenama aksesori, peralatan sekolah dan cenderahati untuk kanak-kanak.

Produk Smiggle berwarna warni dan cantik-cantik. Tapi harganya boleh buat ibu bapa sesak nafas. Bekas pensil saja harganya dah RM50. Keychain pun dah RM20. Belum masuk beg sekolah yang paling murah pun dah cecah RM100.

Beg Smiggle ini berharga RM105 di Malaysia

Sebab itu hanya ibu bapa yang berduit saja boleh beli barang sekolah dari jenama yang berasal daripada Australia ini untuk anak mereka.

Sejarah dan asal-usul Smiggle

Walaupun Smiggle boleh dikatakan baru popular di Malaysia sejak 2-3 tahun lepas, sejarah jenama Australia ini sebenarnya sudah menjangkau lebih 15 tahun.

Smiggle diasaskan oleh dua beradik, Stephen Meurs dan Peter Pausewang yang mendapat idea untuk menghasilkan set kelengkapan alat tulis yang mempunyai personaliti. Ini kerana kebanyakan alat tulis yang dijual di pasaran pada ketika itu langsung tidak menarik perhatian kanak-kanak untuk belajar.

Mereka berdua turut merasakan tidak ada lagi alat tulis dalam pasaran yang mampu menjadi satu ‘fashion statement‘ untuk kanak-kanak. Jadi Stephen mula mereka bentuk beberapa kelengkapan alat tulis yang memenuhi kehendak ini.

Konsep alat tulis yang mereka bangunkan yang menampilkan warna terang serta rekaan yang unik dijenamakan sebagai ‘Smiggle’ – hasil gabungan dua perkataan ‘smile’ dan ‘giggle’.

Langkah pertama mereka dalam pasaran bermula pada tahun 2002 apabila Stephen dan Peter memberanikan diri menyertai satu ekspo perniagaan di Sydney.

Sambutan yang diterima oleh Smiggle semasa ekspo itu sangat menggalakkan. Permintaan meningkat dan sejak itu Smiggle tidak menoleh belakang lagi.

Pada Mac 2003, Smiggle membuka kedai pertama mereka di Chapel Street, South Yarra, Melbourne. Lokasi itu dipilih berikutan kedudukannya yang strategik, dipenuhi dengan warga Melbourne membeli belah serta berdekatan dengan beberapa sekolah.

Berikutan permintaan yang tinggi selepas beberapa tahun membuka kedai pertama mereka, Stephen dan Peter membuka beberapa cawangan lagi di Brighton, Melbourne Central dan Hawthorn.

Lebarkan sayap ke luar negara

5 tahun selepas jenama Smiggle dimulakan, Stephen dan Peter menerima tawaran pembelian syer syarikat daripada sebuah konglomerat perniagaan bernama Just Group sebanyak RM150 juta. Ketika bertukar milik, Smiggle sudah mempunyai 18 cawangan kedai di seluruh Australia.

Setahun berikutnya, sekitar Ogos 2008 sebuah lagi firma perniagaan bernama Premier Investments mengambil alih Just Group, menukarkan hak milik Smiggle sekali lagi. Langkah inilah yang mencetuskan fenomena Smiggle di seluruh dunia.

Pada Disember 2008, Premier Investments membuka kedai jualan Smiggle pertama di luar Australia iaitu di New Zealand selain memperbanyakkan lagi kedai jualan Smiggle di Australia. Menjelang September 2009, dianggarkan Smiggle telah mempunyai sehingga 65 buah cawangan.

Smiggle mula melangkau lebih jauh apabila masuk pula ke pasaran Singapura pada tahun 2011. Ini diikuti dengan Indonesia pada tahun 2013 dan Malaysia pada tahun 2016.

Ketika artikel ini sedang ditulis, Smiggle sudah mempunyai 22 cawangan di Malaysia, 20 daripadanya di Lembah Klang manakala 2 lagi di Sabah dan Sarawak.

Masalah Smiggle

Sejak masuk Malaysia, Smiggle mencetuskan beberapa masalah baru kepada ibu bapa. Antaranya:

1. Harga terlalu mahal. Masalah ini bukan sahaja dibangkitkan oleh ibu bapa di Malaysia, malah turut diadu oleh ibu bapa di luar negara.

2. Kualiti produk yang tak sepadan dengan harganya.

3. Disebabkan harganya yang mahal, ia membuatkan kanak-kanak yang tidak memiliki Smiggle diejek ketika di sekolah.

Kenapa Smiggle mahal?

Soalan yang paling ramai ibu bapa tanya tentang Smiggle adalah: kenapa harganya mahal disebalik kualiti produk yang sederhana? Berikut adalah sebab-sebabnya:

1. Target market Smiggle adalah ibu bapa yang berpendapatan tinggi (T20 dan middle upper M40) yang biasanya mempunyai tak lebih daripada 3 orang anak.

2. Berbanding jenama alat tulis lain, Smiggle tahu kepentingan membina komuniti dalam kalangan peminatnya. Jenama ini aktif di media sosial, kerap menyertai festival, kerap mengatur aktiviti dalam kedai dan menghargai ahli VIP mereka.

3. Smiggle sebenarnya tidak menjual alat tulis. Mereka meletakkan diri mereka sebagai pereka fesyen. Cuma berbeza dengan pereka fesyen lain di mana medium mereka adalah pakaian, medium Smiggle adalah alat tulis.

4. Smiggle faham proses membeli adalah proses emosional. Disebalik keputusan rasional yang anda cuba buat sebelum masuk kedai, tugas penjual – seperti Smiggle – adalah menukar proses membeli anda daripada rasional kepada emosional.

Dengan menggunakan warna terang yang disukai kanak-kanak, anda sebagai ibu bapa akan cuba sedaya-upaya melakukan apa sahaja supaya anak anda kekal gembira – termasuklah membeli kotak pensil berharga RM70.

5. Staf Smiggle atau ‘Smigglers‘ dilatih dengan seni brand engagement. Kalau kedai alat tulis lain melarang anak anda menyentuh dan bermain dengan produk mereka, Smigglers pula akan menggalakkan anak anda untuk menyentuh dan bermain dengan produk mereka.

Inilah sebabnya Smiggle boleh menjual produk mereka dengan harga mahal dan yang paling penting, BERJAYA.

Baca juga artikel kami lain yang berkaitan:

Sumber: