Susulan kes pembunuhan seorang kanak-kanak perempuan warga asing berusia enam tahun di depan sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur, bapa tiri serta ibu mangsa telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Sesyen Ampang hari ini.

Bapa tiri mangsa yang juga merupakan lelaki etnik Rohingya berusia 17 tahun itu didakwa membunuh kanak-kanak berkenaan. Tertuduh menganggguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Majistret Normaizan Rahim. 

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR). Ini kerana kes bunuh ini di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Remaja yang tidak bekerja itu didakwa membunuh mangsa dengan niat di dalam sebuah bilik hotel, Jalan Mamada 5, Ampang, antara 12.01 malam hingga 1.30 pagi pada 11 Mei lepas.

Mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, pesalah boleh dihukum mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S. Sangitaa memohon satu tarikh sebutan sementara menunggu laporan bedah siasat, kimia dan forensik.

Mahkamah menetapkan 1 September untuk sebutan semula kes. Tertuduh diwakili peguam Svetlana Nordin. 

Di Mahkamah Sesyen pula, ibu mangsa yang juga pemegang kad UNHCR mengaku tidak bersalah atas pertuduhan secara cuai mengabaikan anaknya dengan cara mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal pada masa, tarikh dan lokasi yang sama. 

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim tidak menawarkan jaminan kerana kes itu serius. Tertuduh yang berusia 23 tahun tidak diwakili oleh peguam. 

Hakim Azrul Darus menetapkan 2 Julai untuk sebutan semula kes. 

Media sebelum ini melaporkan, mayat kanak-kanak perempuan warga asing ditemukan di depan kedai makan sebuah pusat membeli-belah di Ampang dalam keadaan terbaring serta masih berpakaian lengkap, pada 11 Mei lepas. 

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sumber: