Bulan Ramadan tahun 2020 adalah unik kerana akan ada sesetengah orang yang kali pertama akan menjadi imam solat terawih.
Selain itu, ia juga tahun di mana buat pertama kalinya kita perlu mengerjakannya di rumah sendiri. Semuanya kerana wabak COVID-19 yang memaksa kerajaan menguatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jadi pada waktu inilah ada di antara kaum lelaki yang mungkin pertama kali akan menjadi imam solat Terawih di rumah. Mungkin ada yang gementar sebab ini tak pernah-pernah jadi imam solat Terawih.
Jangan risau. Berikut merupakan 13 tips untuk imam-imam solat Terawih di rumah:
1. Elak makan terlalu banyak semasa berbuka
Semasa berbuka, imam-imam perlu mengelak daripada makan terlalu kenyang sampai tersandar. Ini supaya anda tak lesu apabila kena jadi imam nanti.
2. Ulang-ulang bacaan surah sebelum jadi imam
Inilah tips yang selalu imam-imam masjid buat sebelum bertugas. Walaupun mereka sendiri terdiri daripada hafiz, ustaz dan sebagainya, mereka akan praktis bacaan surah utnuk melenyapkan rasa was-was dan lupa.
3. Terus rukuk jika lupa surah
Jika anda tak ingat bacaan surah, terus rukuk. Jangan ulang-ulang jika anda tak yakin dan tak ingat surah tersebut. Kalau tak, anda akan buat makmum dan anda sendiri jadi panik.
4. Utamakan bacaan al-Fatihah
Banyak imam-imam baru yang terlalu risau dengan bacaan surah selepas al-Fatihah kerana takut lupa. Sedangkan syarat sah solatnya adalah al-Fatihah. Bacaan surah selepas al-Fatihah hanya sunat sahaja.
5. Baca surah Ahad pada rakaat kedua
Jika anda kali pertama menjadi imam solat Terawih, cukuplah jika anda membaca surah Ahad (Qulhuwallah) pada rakaat kedua. Jadi anda senang tahu pada rakaat tersebut, anda akan duduk tahiyat akhir. Taklah terlupa rakaat nanti.
6. Elak baca mendayu-dayu
Apabila menjadi imam, elakkan baca secara mendayu-dayu sangat. Ditakuti makmum akan jadi mengantuk.
7. Berpakaian sesuai
Jika rumah tiada aircond, elakkan pakai pakaian macam imam Masjidil Haram. Pakailah pakaian yang membuatkan anda selesa ketika solat.
8. Dapatkan rehat dan air yang cukup
Apabila anda tahu anda akan menjadi imam, pastikan anda dapatkan rehat cukup. Takut terlena pula masa sujud nanti. Kemudian sediakan juga sebotol air jika perlu. Takut anda jadi haus ketika solat.
9. Beri masa kepada makmum
Selepas baca al-Fatihah, beri masa kepada makmum untuk membaca al-Fatihah pula. Begitu juga selepas bangkit dari sujud. Kebanyakan jemaah wanita dan orang tua perlu memgambil sedikit masa untuk bangkit dari sujud.
10. Gementar itu normal
Jika anda terlalu gementar sehingga terketar-ketar kaki anda, ketahuilah bahawa perkara itu normal. Imam-imam di masjid juga pernah mengalaminya.
11. Tengok keadaan makmum
Jika anda makmum anda tidak boleh berdiri lama atau letih, elakkan daripada membaca surah-surah panjang. Gunakan akal anda untuk mempertimbangkan situasi makmum anda. Ingat, syarat sah solat adalah berakal.
12. Solat di ruang yang lain dengan kucing
Jika rumah anda ada bela kucing, solatlah di ruang yang tak boleh dimasuki kucing untuk mengelak gangguan. Jika tidak, pastikan anda awasi kemungkinan kucing masuk dalam kain/jubah/telekung anda.
13. Baca doa iftitah pada rakaat pertama sahaja
Anda tak perlu baca doa iftitah pada setiap rakaat bernombor ganjil. Cukup hanya baca pada rakaat pertama. Pada rakaat nombor ganjil seterusnya, anda hanya perlu angkat takbir dan terus membaca al-Fatihah.