Pada hari ini, rangkaian makanan segera Jollibee sangat dikenali di seluruh dunia. Bermula di Filipina, Jollibee Foods Corp kini mempunyai hampir 1,500 cawangan di bandar-bandar utama.

Selain di Filipina, Jollibee juga kini mempunyai lebih daripada 270 cawangan di beberapa buah negara lain. Ini termasuklah Amerika Syarikat, Kanada, Hong Kong, Malaysia, Arab Saudi, United Kingdom dan Itali.

Berbekalkan dengan harga yang sangat berpatutan, rangkaian makanan segera ini mudah diterima oleh penduduk setempat. Selain itu juga, makanan yang ditawarkan sangat sedap dan berkualiti seperti Chickenjoy, Yumburger dan juga Jolly Spaghetti.

Namun begitu, kejayaan yang ditempa oleh Jollibee ini tidak datang dengan mudah. Ketika pandemik, syarikat ini sama seperti perniagaan yang lain dirundung kerugian. Mereka bangkit semula pada tahun 2021 dengan mencatatkan keuntungan sebanyak RM482 juta.

Kejayaan rangkaian makanan segera ini juga sebenarnya bermula secara tidak sengaja. Ini kisah kedai aiskrim Magnolia yang akhirnya masyhur di seluruh dunia.

Asal usul perniagaan Jollibee

Kredit gambar: Esquire

Ketika berusia 22 tahun, Tony Tan Caktiong pernah melawat ke sebuah kilang aiskrim. Teruja dengan apa yang dilihatnya, Tony mula menyimpan cita-cita untuk membuka gerai aiskrim.

Pada tahun 1975, Tony kemudiannya menyertai francais milik Syarikat Magnolia Dairy Ice Cream. Menggunakan wang simpanan keluarganya, dua buah gerai aiskrim dibuka iaitu di Cubao dan Quiapo.

Namun begitu, ia tidak memberikan pulangan seperti yang disangka. Bagi menampung jualan, Tony terpaksa menambah menu sendiri bagi menarik pelanggan.

Antara menu yang ditambah ialah sandwich dan makanan segera seperti burger. Lama kelamaan, menu tambahan ini yang lebih menarik minat pelanggan untuk datang ke kedai mereka.

Akhirnya, Tony meninggalkan perniagaan aiskrim tersebut dan mengubahnya kepada rangkaian makanan segera. Seorang penasihat perniagaan mengesyorkan kepada Tony untuk menggunakan nama Jollibee.

Lebah pula dipilih sebagai maskot bagi menggambarkan kerajinannya. Pada tahun 1978, Jollibee Foods Corporation ditubuhkan dan mereka berjaya membuka tujuh cawangan pada tahun sama.

Berkembang disebalik persaingan

Kredit gambar: TSL

Persaingan adalah lumrah utama di dalam mana-mana perniagaan. Namun begitu, bagi Jollibee mereka terpaksa bersaing dengan lawan yang benar-benar berwibawa.

Ini kerana, ketika perniagaan mereka mula berkembang, gergasi makanan segera yang lain seperti KFC dan McDonald’s juga sedang meningkat naik.

Pada hari ini, kejayaan tersebut diterjemah dengan angka. Filipina merupakan satu-satunya negara yang tidak didominasi oleh McDonald’s. Berbanding 600 cawangan McDonald’s, Jollibee memiliki 1,500 cawangan di seluruh Filipina.

Perkembangan mereka di luar negara juga amat membanggakan. Ini kerana, Jollibee cuba beradaptasi dengan negara tersebut. Sebagai contoh, hanya cawangan di Timur Tengah menawarkan ayam kabsa dan nasi briyani. Selain itu juga, cawangan di Singapura mempunyai menu nasi lemak.

Bagi mengesahkan kedudukannya sebagai makanan segera no.1 di Flipina, Jollibee turut melancarkan lagu mereka sempena 40 tahun perniagaannya. Filipina dan nyanyian tidak boleh dipisahkan.