Juara dunia MotoGP tujuh kali, Valentino Rossi dari Itali hampir pasti menyertai pasukan satelit Yamaha, Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) musim depan.

Pelumba Monster Energy Yamaha, yang dikenali dengan gelaran ‘The Doctor’, menyatakan bahawa kedua-dua pihak masih menyelesaikan beberapa isu sebelum perjanjian itu dimuktamadkan tidak lama lagi. 

“Berita yang saya sudah tandatangani (perjanjian) adalah tidak benar, tetapi kami hampir bersetuju dengan kontrak itu. Saya mahu terus berlumba. Sudah 99 peratus pasti bahawa saya akan bersama pasukan Petronas pada tahun 2021,” kata pelumba berusia 41 tahun di laman web rasmi MotoGP, www.motogp.com.

Rossi dijangka akan bertukar tempat dengan pelumba Petronas Yamaha SRT, Fabio Quartararo yang menandatangani kontrak dua tahun dengan Monster Energy Yamaha sehingga 2022, awal tahun ini.

Embed from Getty Images

Rakan sepasukan Quartararo ketika ini, Franco Morbidelli baru-baru ini melanjutkan kontraknya sehingga 2022 dengan pasukan berpangkalan di Malaysia.

Prinsipal pasukan Petronas Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali berkata bukan mudah untuk ‘memikat’ legenda sukan permotoran dua roda, Valentino Rossi menyertai mereka.

“Rossi bukan seorang pelumba biasa, jadi perbincangan itu tidak mudah (membabitkan banyak pihak), banyak yang perlu dibincangkan bersama,” kata Razlan.

“Kita akan buat satu sidang video bersama Rossi nanti. Dia ingin tahu apakah jangkaan pasukan terhadapnya… bukan kerana dia terpaksa atau kita perlu mengambilnya. Sekiranya musim ini berlangsung dengan baik, kita mungkin tidak melihatnya sebagai pilihan.

“Namun dengan keadaan sekarang (COVID-19), kita perlukan kestabilan dalam pasukan. Dalam situasi yang berbeza ini, elok untuk kita mengambil seorang pelumba yang boleh memberi kestabilan dalam pasukan,” kata Razlan yang turut tidak menolak kemungkinan Rossi bakal menamatkan kariernya bersama pasukan Malaysia ini.

“Ada kemungkinan dia bersara dalam pasukan kita. Ini juga satu penghormatan. Tak sangka dalam tempoh sesingkat ini, pasukan sudah melalui banyak detik positif,” katanya mengenai pasukan MotoGP PETRONAS Yamaha SRT yang membuat penampilan sulung dalam kelas perdana itu, tahun lalu.

Baca juga artikel lain yang berkaitan: