Hari demi hari, kita akan disajikan dengan pelbagai varian mutasi baharu dari wabak Covid-19 di Malaysia yang datang dari seluruh pelusuk dunia. Apabila isu pembolotan vaksin oleh Kesatuan Eropah dibangkitkan oleh YB Khairy Jamaluddin, timbul persoalan tentang kemampuan Malaysia untuk menghasilkan vaksin Covid-19 sendiri.
Sebenarnya, kerajaan melalui Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 yang dilancarkan pada Disember 2020 juga telah menyertakan perancangan mengenai penubuhan Pusat Vaksin Negara (PVN). Pembangunan PVN ini secara tidak langsung akan membangunkan kapasiti negara untuk menghasilkan vaksin sendiri pada masa depan. Penubuhan PVN ini juga kelak akan membantu bagi menyokong ekosistem keselamatan kesihatan kebangsaan melalui platform kolaborasi strategik tempatan dan antarabangsa yang menawarkan penyelesaian teknikal dan infrastruktur bagi pembangunan vaksin manusia dan haiwan.
Persoalan utamanya, bila?
Sejarah penyakit berjangkit dan penubuhan IMR
Wabak Covid-19 bukanlah wabak berjangkit pertama yang melanda negara kita. Apabila bercakap tentang penghasilan vaksin, mata kita akan tertumpu kepada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR). Berdasarkan sejarah kajian penyakit berjangkit di negara ini, ia bermula seawal 1900 lagi dengan cadangan Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Sir Frank Swettenham untuk mendirikan Institut Patologi yang kini dikenali Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur.
Kuala Lumpur terpilih kerana kedudukan strategiknya di tengah-tengah Semenanjung. Institut itu ditubuhkan untuk membuat kajian penyakit tropika seperti cacar, taun, rabies dan penyakit berjangkit lain. Dari 1941 hingga 1945, fungsi IMR dikembangkan untuk membuat kajian terhadap malaria dan menjalankan pengeluaran vaksin kolera atau taun dan vaksin tiphoid. Pada 1971 hingga 1975 mengikut Pelan Perancangan Malaysia Kedua, IMR terus diberi mandat menjalankan kajian, latihan dan mengeluarkan vaksin untuk kegunaan setempat melalui Unit Pengeluaran Vaksin.
Bagaimanapun, Unit Pengeluaran Vaksin di IMR ini ditutup pada 1990 dan sehingga kini, Malaysia tiada lagi infrastruktur khusus dan unit mengeluarkan vaksin kepada negara. Mungkin dengan cadangan penubuhan Pusat Vaksin Negara (PVN) kelak akan mengaktifkan semula fungsi unit tersebut.
Usaha IMR dengan kerjasama UPM
Pada bulan Jun tahun ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengumumkan bahawa IMR dengan kerjasama UPM sedang berusaha untuk membangunkan vaksin buat Malaysia dari jenis messenger ribonucleic acid (mRNA). Usaha ini telah bermula mulai November tahun lalu dan kini pada peringkat pengklonan varian asal virus serta varian lain SARS-CoV-2.
Ketika ini, status pembangunan vaksin di IMR adalah pada peringkat pengklonan genetik sasaran merangkumi varian asal dan varian lain virus SARS-CoV-2. Selepas proses pengklonan selesai, kajian keberkesanan vaksin membabitkan praklinikal ke atas haiwan besar dan kecil serta kajian klinikal terhadap manusia peringkat fasa satu, dua dan tiga, perlu dilaksanakan sebelum proses pendaftaran serta pengilangan vaksin mRNA ini dijalankan.
Laporan terbaru semalam menunjukkan ujian praklinikal vaksin tersebut yang membabitkan haiwan akan bermula pada bulan hadapan dan dijangka siap menjelang tahun 2024.
Mengapa mRNA menjadi pilihan IMR?
Pada awal kelulusan kecemasan oleh WHO diberikan kepada Pfizer-BioNTech dan Moderna, timbul keraguan yang berkait rapat dengan teknologi messenger ribonucleic acid (mRNA) yang digunakan dalam penghasilan vaksin itu. Antaranya, anggapan dan tohmahan bahawa pembuatan vaksin mRNA membabitkan pengubahsuaian susunan genetik atau gene editing pada virus Covid-19 yang akan disuntik.
Seterusnya, terdapat anggapan bahawa suntikan vaksin mRNA akan mengubah kod genetik penerima vaksin, seterusnya genetik terubah itu akan diwarisi turun-temurun. Namun hakikatnya, sama seperti suntikan vaksin konvensional yang lain, objektif utama vaksinasi ialah untuk menghasilkan imuniti terhadap sesuatu jangkitan.
Kini selepas hampir lapan bulan berada di pasaran, terdapat kajian yang menunjukkan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech dan Moderna mampu memberikan perlindungan sepanjang hayat daripada ancaman wabak itu. Penyelidik mendapati individu yang menerima mana-mana dua dos suntikan vaksin menggunakan teknologi mRNA mempunyai tindak balas imun kuat yang berkekalan. Vaksin itu juga menghasilkan tahap antibodi peneutralan yang tinggi terhadap dua varian mutasi terawal Covid-19 iaitu beta dan alpha.
Penghasilan vaksin mRNA yang menggunakan kaedah lipid nanoparticle (LNP) yang membabitkan cell-free process yang secara teknikalnya, dijangkakan lebih cepat berbanding kaedah penghasilan vaksin jenis lain. Vaksin mRNA turut disifatkan selamat berikutan formulasi yang digunakan untuk menghasilkan vaksin tersebut wujud secara semula jadi dalam tubuh manusia selain bahan lain yang diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA).