Konglomerat S.C. Johnson mungkin kurang dikenali di mata orang awam. Namun begitu, kita lebih mengenali jenama-jenama barangan pencuci, pembersih dan juga semburan serangga yang dimiliki mereka. Antara jenama tersebut ialah Baygon, Glade, Ridsect, Kiwi Kleen dan juga Mr Muscle.

Perniagaan ini kerap kali disalah anggap sebagai sebahagian daripada Johnson & Johnson. Antara persamaan kedua-dua syarikat ini ialah diasaskan pada tahun 1886 dan bermula hanya sebagai perniagaan keluarga.

Menariknya, syarikat S.C. Johnson kekal menjadi milikan keluarga Johnson sehingga hari ini. Ia juga merupakan antara syarikat milik keluarga yang tertua di Amerika Syarikat. Ini berbeza dengan gergasi farmaseutikal Johnson & Johnson yang diapungkan di pasaran seawal tahun 1944.

Kekeliruan pemilikan antara syarikat S.C. Johnson dan Johnson & Johnson ini juga pernah diakui oleh CEO mereka sendiri. Menurut Herbert Fisk Johnson III, ia bukanlah sesuatu yang memalukan kerana Johnson & Johnson merupakan syarikat yang besar. Namun begitu, S.C. Johnson juga masih boleh berbangga kerana kekal mampu menguasai pasaran pembersih di seluruh dunia.

Bermula dengan pencuci lantai

Kredit gambar: SC Johnson

Pada awalnya, generasi pertama syarikat S.C. Johnson ini bermula dengan perniagaan lantai parket. Samuel Curtis Johnson membeli perniagaan tersebut daripada Racine Hardware Manufacturing Company. Ia dinamakan sebagai S.C. Johnson.

Setelah itu, wujud vakum yang dilihat boleh diisi dengan produk pembersih lantai. Lantai parket memerlukan penjagaan yang rapi dan khusus untuk memelihara ketahanannya. Lantas S.C. Johnson mula berinovasi dan mengeluarkan produk seperti Johnson’s Prepared Wax, Johnson’s Dance Wax, and Johnson’s Wood Dye.

Pada tahun 1906, dua dekad selepas pembukaannya, Herbert Fisk Johnson Sr mula menyertai syarikat ayahnya. S.C. Johnson mula berkembang ke United Kingdom. Dek kerana ia milik keluarga, Herbert lebih akrab dan menghargai pekerjanya.

Bonus sebanyak $35,000 diberikan kepada para pekerja pada tahun 1917. Setelah inflasi, jumlah tersebut dianggarkan bernilai kira-kira $775,785.94 pada hari ini. Ketika seluruh dunia dibelenggu oleh The Great Depression, S.C. Johnson masih lagi memberi kenaikan gaji kepada pekerjanya.

Generasi kelima

Kredit gambar: Mergr

Pada hari ini, Herbert Fisk Johnson III merupakan CEO dan pemilik utama S.C. Johnson. Beliau merupakan peyambung legasi ayahnya, datuk, moyang, Herbert Fisk Johnson Sr dan Samuel Curtis Johnson Sr.

Biarpun merupakan pewaris perniagaan bernilai berbilion Dolar, Herbet dilihat layak memegang jawatan tersebut. Beliau berkelulusan Sarjana Muda Fizik dan Kimia pada tahun 1979. Herbet memiliki tiga Ijazah Sarjana iaitu Kejuruteraan pada tahun 1980, Aplikasi Fizik pada tahun 1982 dan Perniagaan, Pemasaran dan Kewangan pada tahun 1984. Beliau turut menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah dalam bidang fizik pada tahun 1986.

Di bawah pengawasannya, S.C. Johnson berkembang ke seluruh pelusuk dunia. Ketika pandemik, syarikat ini masih mampu mencatatkan perniagaan sebanyak $11 bilion.

Bagi menghargai sumbangannya kepada Amerika Syarikat, beliau diangurahkan dengan Ron Brown Award pada tahun 2006. Presiden George W. Bush memberikan anugerah tersebut atas penghargaan negara kepada pemimpin korporat yang berjaya mengangkat martabat komuniti.

Selain itu juga, beliau pernah memberikan sumbangan peribadi dan keluarga berjumalah $150 juta kepada Cornell Univerisity. Ini merupakan tradisi turun temurun S.C. Johnson kepada institusi pendidikan tersebut.