Jacinda Ardern, Perdana Menteri New Zealand pada hari ini menyeru agar pemimpin negara dan pemilik firma teknologi yang mahu membasmi keganasan ekstrim dalam talian untuk bekerjasama dengan memfokuskan usaha untuk memahami algoritma media sosial. Beliau melontarkan idea tersebut pada sidang kemuncak maya sempena ulang tahun kedua inisiatif global untuk menamatkan kebencian dalam talian yang dikenali sebagai Christchurch Call.

Christchurch Call merupakan inisiatif yang dilancarkan secara bersama oleh Jacinda Ardern dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Istana Elysee, Paris pada 15 May 2019. Inisiatif ini dilancarkan dua bulan selepas kejadian pembunuhan didalangi pengganas berkulit putih yang membunuh 51 jemaah di dua masjid di Christchurch, New Zealand dan menyiarkan pembuatan terkutuk itu secara langsung di Facebook.

Menurut beliau lagi, algoritma itu sendiri tidak semestinya menjadi masalah. Namun, masalah timbul apabila ia digunakan secara tidak beretika. Usaha terbaru yang bakal dianjurkan oleh inisiatif ini adalah untuk menyekat radiaklisasi melalui algoritma syarikat teknologi itu sendiri. Sebelum ini, ia dilihat menjurus ke arah perkongsian kandungan bersifat keganasan dan kebencian kepada pengguna.

Setakat ini, lebih 50 negara, organisasi antarabangsa dan firma teknologi menyokong inisiatif berkenaan termasuk Google, Microsoft, Facebook, dan Twitter.