Ribuan pengguna Twitter di India berang apabila Kerajaan India mengarahkan Twitter bagi membuang posting yang mengkritik pengendalian kes Covid-19. Twitter dalam satu kenyataan rasminya memaklumkan perkara itu. India sedang berhadapan dengan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak, beberapa minggu ini.

Kerajaan India dilaporkan mengeluarkan perintah untuk meminta Twitter memadamkan posting yang dihantar oleh seorang ahli politik di Benggal Barat yang menyalahkan Perdana Menteri Narendra Modi sebagai punca peningkatan kes. Selain itu juga terdapat posting yang dihantar oleh seorang pelakon yang menyalahkan rapat umum politik oleh Modi dikala jangkitan kes Covid-19 sedang memuncak.

Kerajaan India memetik Akta Teknologi Maklumat 2000 untuk mengeluarkan perintah sedemikian. Walau bagaimanapun, Twitter hanya akan membuang posting tersebut dari akses di India sahaja sekiranya ia tidak melanggar Twitter Rules. Lebih 50 posting telahpun dipadamkan setakat ini atas perintah kerajaan.

Sejak 21 April yang lalu, India sedang berhadapan dengan peningkatan kes melebihi 300,000 saban hari. Jumlah tertinggi yang dicatatkan adalah pada 25 April dengan 354,531 kes dan terendah pada 21 April iaitu 315,802 kes. Kekurangan katil di wad ICU serta bantuan pernafasan menggunakan oksigen menjadikan kadar kematian meningkat.

 

Sumber: