PROTON merupakan syarikat automotif keluaran tempatan yang pertama bersama-sama dengan Mitsubishi Motors Corporation dari Jepun. PROTON berjaya memulakan pengeluaran dengan model PROTON Saga pada tahun 1985.

Selepas kejayaan PROTON sebagai kereta nasional, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (PERODUA) telah ditubuhkan pada bulan Oktober 1992. Ia merupakan hasil perjanjian antara tujuh buah syarikat iaitu UMW, Daihatsu Motor, MedBumikar Mara, PNB, Equity Resources Corporation , Mitsui dan Daihatsu (Malaysia) Sdn Bhd.

Akibat daripada perkembangan ini, pasaran kenderaan Malaysia didominasi oleh kereta-kereta nasional Malaysia iaitu PROTON dan PERODUA. Sepanjang 36 tahun ini, berpuluh-puluh buah kereta dikeluarkan oleh PROTON dan PERODUA untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Sebanyak 32,378,174 jumlah kenderaan bermotor telah direkodkan di Malaysia pada 2020, menurut statistik yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT). Berikut merupakan perbincangan mengenai lima kereta keluaran tempatan yang gagal menambat hati pengguna.

1. Perodua Nautica

Kredit gambar: WapCar

Pada Mei 2008, PERODUA merasmikan model Nautica. Diimport sepenuhnya dari Jepun, ia dijual pada harga RM89,900. Harga jualan ini menjadikannya sebagai kenderaan PERODUA yang paling mahal pernah dijual.

Harga jualan yang mahal serta perbezaan harga dengan Toyota Rush yang tidak memadai menyebabkan Nautica tidak mendapat sambutan. Tambahan pula, Toyota Rush mempunyai 7 tempat duduk dan ruang yang lebih luas. Dengan harga yang sama, sudah tentu pembeli akan memihak kepada Toyota Rush.

Hanya sebanyak 489 unit PERODUA Nautica telah terjual tetapi penjualannya dihentikan setelah berada dalam pasaran selama setahun.

2. Proton Juara

Kredit gambar: Carousell

PROTON Juara merupakan kereta tempatan yang kurang mendapat sambutan. Lebih dikenali sebagai kotak bergerak kerana rupanya yang seperti kotak, model Juara dilancarkan pada tahun 2001.

Ia adalah model kelapan dalam keluarga PROTON dan merupakan MPV pertama di bawah jenama itu. Harga pelancarannya ialah sekitar RM44,000. Sayang sekali sambutannya hambar dan akhirnya ia tenggelam di dalam sejarah PROTON.

3. Proton Tiara

Kredit gambar: Drive Tribe

PROTON Tiara merupakan sebuah kereta kompak berasaskan Citroen AX. Ia merupakan kereta yang dikeluarkan selepas sedekad usahasama PROTON dengan Mitsubishi yang berakhir pada tahun 1995. Citroen menjadi pilihan usahasama bagi keluaran kereta supermini hatchback ini.

Tiara direka di bawah usahasama Citroen dari 1996 hingga 2000. Hanya selepas 4 tahun, penghasilan model kereta ini dihentikan secara rasminya pada tahun 2000. Masalah alat gantinya yang sangat sukar diperolehi menyebabkan model Tiara tidak mencapai sasaran jualan.

4. Proton Arena

Kredit gambar: Careta

Pada tahun 2002, PROTON memperkenalkan model Arena, sebuah Utility Vehicle berdasarkan platform Proton Wira. Ia dilancarkan di pasaran tempatan pada 2002 dan dikeluarkan sehingga 2010. Arena mempunyai tiga varian iaitu Freestyle, Sportdeck dan Fastback dengan enjin 4G15 yang dipadankan bersama transmisi manual lima kelajuan.

Proton Arena juga adalah produk eksport utama ke luar negara. Berdasarkan rekod, Arena atau Jumbuck dipasarkan ke Australia, UK dan Afrika Selatan.

Selepas sedekad dilancarkan, Arena masih popular di UK. Model ini sangat popular di luar negara berbanding di dalam negara sendiri kerana permintaan terhadap kereta jenis itu masih rendah pada masa itu. Antara punca kegagalan model ini di Malaysia adalah kerana memiliki dua tempat duduk, serta sangat rendah untuk sebuah Utility Vehicle.

5. Proton Savvy

Kredit gambar: Funtasticko

Pada tahun 2005, PROTON memperkenalkan model Savvy, sebuah sub kompak hatchback lima pintu. Model Savvy sebelum itu dikenali sebagai Tiara Replacement Model (TRM) dan dikuasakan oleh enjin Renault 1.2L D-Type.

Ia dilancarkan di pasaran tempatan pada 2005 dan dikeluarkan sehingga 2013. Savvy mempunyai tiga varian transmisi iaitu manual lima kelajuan, Magneti Marelli Quickshift serta Automated manual transmission (AMT). Model ini banyak dieksport ke Australia, United Kingdom, Singapura, Afrika Selatan, Thailand, Taiwan, and Indonesia.

Tahukah anda, Savvy pernah direkodkan di dalam Malaysia Book of Records sebagai kereta paling jimat minyak. Penggunaan purata minyak ialah sejauh 24 km bagi setiap liter. Sama seperti Tiara, disebabkan kos alat ganti Savy yang mahal, jualan Savy mula menurun pengguna mula beralih minat untuk membeli Myvi.

PERODUA Myvi diperkenalkan pada tahun yang sama dan kekal menjadi kereta paling digemari rakyat Malaysia.