Sektor hartanah dijangka menjadi salah satu sektor ekonomi yang akan kembali meningkat naik pasca pandemik. Sebelum ini, sektor hartanah di negara ini dilaporkan mengalami penurunan sebanyak 19 peratus dari segi jualan, setakat pertengahan tahun lalu ekoran penularan pandemik. Menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), rekod menunjukkan penurunan pembelian di sektor hartanah secara menyeluruh sepanjang tahun 2020.
Data yang dikeluarkan oleh NAPIC menunjukkan bahawa pasaran hartanah Malaysia merekodkan sebanyak 295,968 transaksi bernilai RM119.08 bilion pada 2020. Jumlah tersebut secara keseluruhannya merupakan penurunan sebanyak 9.9 peratus dan 15.8 peratus tahun ke tahun dari segi jumlah dan nilai berbanding 2019.
Pandemik sebenarnya menyedarkan kita bahawa kejadian luar jangkaan seperti ini boleh berlaku pada bila-bila masa. Justeru, pembeli hartanah melihat memiliki hartanah sebagai kaedah berisiko rendah untuk membina penampan kewangan. Ledakan hartanah akan datang juga menjadi penyebab tambahan pembelian yang dibuat pada hari ini.
Berikut dikongsikan tiga sebab utama mengapa keadaan pandemik dilihat sebagai waktu yang terbaik untuk membeli hartanah.
1. Kadar faedah yang masih rendah bagi pinjaman perumahan
Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) baru sahaja mengadakan mesyuarat pada 8 Julai yang lalu bagi menentukan keputusan sama ada untuk mengekalkan atau menurunkan lagi Kadar Dasar Semalaman atau Overnight Policy Rate (OPR). Pengekalan kadar OPR pada 1.75 peratus akhirnya dikekalkan oleh Bank Negara Malaysia, iaitu kadar yang sama sejak 10 September 2020.
Kadar OPR ini tidak mempegaruhi harga rumah, sebaliknya membantu mengurangkan kadar pembayaran ansuran bulanan bagi pembiayaan rumah tersebut. Ini juga bermaksud, kadar faedah kepada pinjaman akan kekal rendah dengan pengekalan OPR tersebut.
2. Pengecualian duti setem sehingga Disember 2021
Kempen Pemilikan Rumah 2020 (HOC) pada dasarnya bertujuan untuk merangsang proses pembelian hartanah dan juga penjualan hartanah yang tak terjual. Pengumuman oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) mengenai skim pengecualian duti setem di bawah Kempen Pemilikan Rumah (HOC) akan dilanjutkan selama enam bulan lagi hingga 31 Disember 2021 juga menjadi sebab utama mengapa pembelian hartanah sewaktu pandemik ini adalah berbaloi.
Kempen HOC ini terbuka kepada semua pembeli rumah berwarganegara Malaysia, tanpa had bilangan unit yang dibeli. Namun begitu, kempen ini hanya tertakluk kepada pembelian hartanah yang telah dilancarkan atau siap dibina, bukan pembelian subsale ataupun rumah lelong.
3. Pulangan yang lebih tinggi di kemudian hari
Semasa pandemik, kelebihan ada pada tangan anda sebagai pembeli. Ini bermakna lebih mudah untuk merundingkan terma yang menguntungkan anda sebagai pembeli. Laporan MHPI bagi suku pertama tahun ini menunjukkan peratusan harga kediaman menurun 0.1 peratus bagi rumah teres, 0.7 peratus bagi rumah apartment, 0.7 peratus bagi Semi-D dan 0.8 peratus bagi rumah banglo.
Apabila anda membeli hartanah semasa kemelesetan ekonomi, anda membeli pada harga yang lebih murah dengan kadar pinjaman yang lebih rendah. Pertumbuhan ekonomi, pekerjaan dan pendapatan akan meningkat lebih pantas seiring dengan peningkatan ekonomi pasca pandemik. Dan keadaan itu kelak bertepatan dengan permintaan dan harga hartanah yang meningkat, sekiranya pembeli mahu menjual semula hartanah tersebut.