Selepas Tesla mengumumkan tidak akan menerima Bitcoin sebagai pilihan matawang dalam urusan jual beli, Kerajaan China pula semalam mengumumkan pengharaman transaksi kripto di semua institusi kewangan. Dua pengumuman ini meyebabkan sebanyak RM2.071 trilion (US$500 bilion) hilang daripada nilai pasaran matawang Bitcoin.

Harga Bitcoin juga jatuh sebanyak 30 peratus kepada US$31,000. Sekiranya dibandingkan dengan nilai tertinggi yang pernah dicatatkan oleh Bitcoin iaitu US$65,000, nilai matawang kripto itu kini telah berkurangan sebanyak 50 peratus. Pengumuman oleh Kerajaan China ini juga membawa kepada kejatuhan nilai Ethereum, kripto kedua terbesar selepas Bitcoin kepada 40 peratus.

Pengharaman ini bagaimanapun hanya berkait dengan institusi kewangan sahaja. Tiada sebarang sekatan kepada pemilikan matawang kripto oleh individu. Menurut kenyataan, pengharaman ini dibuat berdasarkan nilai semasa kripto yang tidak menentu lantas menyebabkan risiko tinggi terhadap pemilikan harta benda rakyat China. Naik turun nilai kripto juga menyebabkan berlaku gangguan kepada ekonomi dan pasaran kewangan negara terbabit. Kerajaan China juga menganggap nilai kripto tidak disandarkan kepada mana-mana nilai mutlak dan munasabah.

Pengharaman ini juga menyebabkan institusi kewangan di China tidak dibenarkan untuk memberikan sebarang perkhidmatan berkaitan kripto seperti pendaftaran, jual beli, pasaran dan juga transaksi kewangan. Sebenarnya sejak tahun 2017 lagi China mempunyai arahan untuk tidak membenarkan sebarang cryptocurrency exchange tempatan untuk beroperasi di negara tersebut.