Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy) mengesahkan tiga video UFO yang dimuatnaik oleh New York Times dan To the Stars Academy pada 2017 dan 2018 sebagai ‘asli’, sekaligus mengesahkan UFO memang wujud.

Ini selepas US Navy memuatnaik sendiri tiga video tersebut dan mengesahkan penemuan UFO yang mereka panggil sebagai UAP (unidentifield aerial phenomena).

Tiga video tersebut yang bertajuk ‘GIMBAL.wmv’, ‘FLIR.mp4’ dan ‘GOFAST.wmv’ pada mulanya didedahkan kepada orang awam menerusi laporan New York Times pada 2017 dan To the Stars Academy pada 2018.

To the Stars Academy merupakan organisasi penyelidikan UFO yang diasaskan oleh bekas gitaris Blink 182, Tom DeLonge. Beliau turut menerbitkan rancangan dokumentari Unidentified: Inside America’s UFO Investigation di saluran History Channel pada 2018.

Dalam satu video, sebuah jet pejuang Navy F/A-18 Super Hornet menemui UFO di persisiran laut San Diego, California pada tahun 2004.

Dalam satu video lagi, seorang juruterbang dapat didengari berkata, “Woa, dapat dah! Woohoo! Apa benda itu?” sebelum ditanya oleh seorang lagi juruterbang, “Wau, apa benda itu?”

Anda boleh lihat tiga video tersebut di bawah:

UFO itu kemudiannya terbang laju dari pandangan radar jet yang mampu terbang selaju 3,219km/j. Media US kemudiannya mendedahkan Jabatan Pertahanan Kerajaan Amerika Syarikat mempunyai program khas mengkaji UFO yang dinamakan ‘Advance Aerospace Threat Identification Program’.

Program tersebut dilaporkan menerima bajet sebanyak USD22 juta (RM96 juta) daripada kerajaan Amerika Syarikat. Pengarah program tersebut, Luis Elizondo dilaporkan telah meletak jawatan dalam program tersebut kerana ‘kerajaan US tidak mengambil serius hasil kajian program tersebut’.

Elizondo kini menyertai To the Stars Academy.

Pada September 2019, jurucakap US Navy mengesahkan tiga video UFO yang dimuatnaik oleh To the Stars Academy di YouTube sebagai ‘asli’. “US Navy memanggil fenomena dalam ketiga-tiga video tersebut sebagai UAP (unidentifield aerial phenomena),” jelas jurucakap tersebut.

Dan pada Selasa, 28 April 2020 lepas, Jabatan Pertahanan Kerajaan Amerika Syarikat memuatnaik sendiri tiga video sama sebagai tanda pengesahan keaslian. Menjelaskan mengapa kerajaan Amerika Syarikat bertindak sedemikian, jurucakap Pentagon Sue Gough berkata:

“Selepas disemak, Jabatan Pertahanan membenarkan pengeluaran video ini kerana ia tidak mengandungi sebarang maklumat sensitif dan tidak menganggu siasatan kerajaan terhadap UAP.”

Siapa Tom DeLonge?

Embed from Getty Images

Seperti yang telah diberitahu, Tom DeLonge merupakan artis Amerika Syarikat yang mengasaskan penubuhan organisasi kajian UFO, To the Stars Academy. Beliau merupakan bekas gitaris Blink 182 dan kini mengetuai band Angels and Airwaves.

DeLonge sudah lama mengaku percayakan kewujudan UFO. Pada tahun 2001, beliau pernah menulis lagu Alien Exist dalam album Blink 182, Take Off Your Pants And Jacket. Dalam lagu tersebut, beliau menceritakan kepercayaannya terhadap UFO.

Tetapi ramai peminat Blink 182 (termasuk ahli Blink 182) sendiri tidak mengambil serius kepercayaannya. Bagaimanapun kepercayaan DeLonge terhadap UFO tidak pernah pudar.

Selepas keluar dari Blink 182, DeLonge menulis buku Sekret Machines Book 1: Chasing Shadows yang menceritakan tentang projek UFO Jabatan Pertahanan Kerajaan Amerika Syarikat. Pada tahun 2015, beliau memberitahu media yang beliau berhubung dengan UFO.

Selepas bertahun-tahun tidak diambil serius, DeLonge boleh berbangga dengan kepercayaannya selepas US Navy mengesahkan UFO wujud.

Baca juga artikel kami lain yang berkaitan:

Sumber: