Pada penghujung Disember tahun lalu, Boustead Holdings Bhd dilapor sedang mempertimbangkan untuk menjual pegangannya di dalam University of Nottingham Malaysia dengan anggaran nilai kira-kira RM500 juta. Ketika laporan tersebut ditulis, Boustead sedang bekerjasama dengan penasihat berhubung rancangan menjual majoriti kepentingannya dalam universiti berkenaan.

Boustead merupakan pemilik saham majoriti di University of Nottingham Malaysia dengan memiliki 66 peratus kepentingan di dalam universiti itu. Rancangan Boustead adalah untuk menjual sahamnya kepada University of Nottingham yang pada ketika itu memiliki 30 peratus saham. Baki empat peratus saham lagi dimiliki oleh YTL Corporation Bhd.

Pada 17 Ogos 2021, Boustead telah memutuskan untuk membuat perjanjian penjualan saham bersyarat dengan University of Nottingham, United Kingdom. Anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) itu melepaskan 66.41 peratus pegangan saham majoriti yang dimilikinya, termasuk kampus di Semenyih, Selangor dengan harga £23.5 juta (kira-kira RM137 juta).

Sejarah penubuhan University of Nottingham Malaysia

Kredit gambar: https://www.facebook.com/UoNMalaysia/photos/a.378094895552210/1612362435458777

University of Nottingham Malaysia merupakan satu daripada dua kampus luar United Kingdom (UK) yang ditubuhkan oleh University of Nottingham. Ketika dibuka pada tahun 2000, University of Nottingham Malaysia merupakan satu-satunya kampus pengajian University of Nottingham di luar UK. Cawangannya di Malaysia itu juga adalah antara kampus cawangan pertama oleh universiti-universiti Britain yang ditubuhkan di luar UK.

Kemudiannya, kampus pengajian kedua dibuka di University of Nottingham Ningbo China dan dikendalikan dengan usahasama oleh University of Nottingham bersama Wanli Education Group.

Kerjasama antara ketiga-tiga pihak iaitu University of Nottingham, Boustead Holdings dan YTL Corporation Bhd itu diumumkan secara rasmi pada 1998 berikutan jemputan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menubuhkan kampus luar negeri. University of Nottingham Malaysia mula menerima pelajar pertamanya secara rasmi pada bulan September 2000.

Rancangan masa hadapan University of Nottingham Malaysia

Kredit gambar: https://www.facebook.com/UoNMalaysia/photos/a.378094895552210/1360513327310357

University of Nottingham Malaysia memiliki sebuah kampus seluas 50.6 hektar di Semenyih, Selangor. Setakat ini, belum ada kepastian sama ada YTL Corporation Bhd akan menjual empat peratus pegangan sahamnya seperti yang dilakukan oleh Boustead.

Menurut Boustead, sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ia akan terus membentuk kerjasama dan perkongsian lain yang akan membantu mempersiapkan bakat masa depan yang berharga terutamanya dalam bidang teknologi digital, tenaga boleh diperbaharui dan internet benda (Internet of Things). Boustead akan terus membangunkan hubungan yang terjalin dengan University of Nottingham Malaysia sambil memupuk hubungan dengan institusi pengajian tinggi tempatan yang lain termasuk Universiti Teknologi MARA dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

GLC tersebut juga akan memfokuskan pada penyelidikan dan pembangunan dalam bidang farmasi, perladangan, marin dan aeroangkasa serta minyak dan gas yang sejajar dengan kekuatan teras perniagaannya.

Menurut Profesor Shearer West, Naib Canselor University of Nottingham Malaysia, komitmen universiti tersebut terhadap kampusnya di Malaysia kekal kukuh seperti biasa. Tambah beliau lagi, penjualan tersebut akan menambah dana yang membolehkannya membina asas yang luar biasa dalam pengajaran dan penyelidikan untuk membangunkan program pengajaran dan penyelidikan inovatif baharu yang menyokong pembangunan lestari tempatan, serantau dan global.