Baru-baru ini, kecoh isu berkenaan permohonan Kerajaan Negeri Kedah bagi mengeksport daun ketum ke Thailand. Membawa isu berkenaan, Menteri Besar Kedah mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan membenarkan eksport daun ketum. Ini bagi memenuhi permintaan tinggi untuk tujuan perubatan oleh syarikat farmasi di luar negara.
Menurut beliau lagi, langkah itu dapat membantu pengusaha tanaman ketum di negara ini. Melalui cukai eksport daun itu kelak, kerajaan juga bakal mendapat pendapatan tambahan.
Daun ketum khususnya yang ditanam di Kedah, mendapat permintaan tinggi terutama di negara jiran, Thailand. Ini kerana, ia dikatakan gred paling baik untuk tujuan perubatan dan dijadikan pil atau minuman kesihatan.
Suatu ketika dahulu, aktiviti mengeksport ketum dulu mungkin wajar disekat kerana ia berkemungkinan dijadikan pengganti kepada bahan terlarang lain. Ia mudah disalah guna seperti ganja atau dadah di negara luar.
Namun begitu, Menteri Besar Kedah beranggapan bahawa larangan ke atas daun ketum itu wajar dipertimbang semula. Ini apabila wujud kemajuan dalam teknologi dan penemuan baharu dalam kaedah penghasilan produk kesihatan atau perubatan.
Undang-undang sedia ada
Pokok ketum merupakan sejenis tumbuhan yang sebelum ini tumbuh liar di kawasan Hutan Hujan Tropika. Kerana sering disalahgunakan, ia dikategorikan sebagai tumbuhan yang terkawal di bawah Akta Racun 1952.
Kegiatan penanaman pokok ketum di negeri Kedah bukanlah isu baru. Ia dilihat reda sedikit pada 2019, selepas kerajaan Kedah memberi amaran akan merampas tanah milik penduduk yang digunakan untuk menanam pokok ketum.
Pada tahun 2019, satu Rang Undang-Undang (RUU) Racun (Pindaan) 2019 dibentangkan berkaitan ketum. Ia membenarkan ketum ditanam namun hanya bagi tujuan penyelidikan, pendidikan dan perubatan tertakluk kepada terma serta syarat dibenarkan.
Sebelum ini, penanaman ketum tidak menyalahi undang-undang. Ia sebaliknya hanya termaktub kepada mereka yang memproses dan menjual ketum.
Namun begitu, perubahan undang-undang di Thailand pada tahun lalu merubah segalanya. Bermula Ogos tahun lalu, Thailand telah mula membenarkan penjualan bahan itu secara terbuka.
Perubahan mendadak ini mendorong peningkatan mendadak pengeluaran daun ketum Malaysia sehingga tiga kali ganda. Permintaan yang tinggi ini sekali gus menyebabkan harganya turut melambung.
Kelemahan dan kelompangan undang-undang menyebabkan masalah penyalahgunaan serta penanaman ketum masih berleluasa. Ketika ini, harga ketum di pasaran negara jiran itu dilaporkan mencecah lebih RM150 sekilogram.
Khasiat daun ketum dan pasaran herba dunia
Herba mendapat tempat yang tinggi di dalam pasaran perubatan alternatif. Dianggarkan pasaran ubat herba bernilai RM418 bilion setakat tahun lalu dan ia dijangka meningkat sebanyak 16% setiap tahun. Menjelang tahun 2026, pasaran itu dianggarkan bernilai RM629 bilion.
Pihak KKM melalui Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pernah menjalankan kajian pra klinikal terhadap daun ketum. Namun, data pra klinikal sedia ada masih belum mencukupi bagi membolehkan formulasi ekstrak ketum memasuki fasa kajian klinikal.
Kajian keberkesanan mendapati ekstrak ketum mempunyai kesan sebagai antimalaria (membunuh parasit malaria). Selain itu juga, ia memiliki kesan antimutagenik yang mampu mencegah sel dari mengalami perubahan material genetik. Ini penting kerana ia boleh menjadi punca penyakit kanser.
Kajian saintis FRIM pula menunjukkan ekstrak air ketum boleh menurunkan paras gula dalam darah. Namun begitu, tanpa pengawasan dan sekatan undang-undang, ia juga boleh terus disalahgunakan. Ini kerana, daun ketum juga mampu mendatangkan kesan ketagihan dan khayal.