Kerajaan India mengarahkan syarikat media sosial untuk memadamkan dan membuang kesemua kandungan berkaitan wabak Covid-19 yang merujuk kepada varian dari India. Menurut laporan Kementerian Teknologi Maklumat, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyenaraikan varian itu sebagai B.1.617 sahaja tanpa merujuk kepada India.

Penggunaan terma geografi sebenarnya digunakan oleh media untuk merujuk kepada asal varian tersebut seperti UK, Brazil dan Afrika Selatan. Selepas berhadapan dengan kritikan demi kritikan tentang cara menangani wabak, Kerajaan India dilihat lebih mengutamakan apa yang diperkatakan tentang mereka di media sosial berbanding usaha yang diambil. Bulan lalu, mereka mengarahkan laman Twitter untuk memadamkan kandungan yang mengkritik beberapa tindakannya ketika menangani penularan wabak.

Menurut WHO, varian Covid-19 yang menyebabkan tercetusnya lonjakan jangkitan di India ditemui di 44 buah negara seluruh dunia. Varian B.1.617 yang pertama kali dijumpai di India pada Oktober tahun lalu, dikesan dalam lebih daripada 4,500 sampel yang dimuat naik ke pangkalan data akses terbuka daripada 44 negara di semua enam wilayah WHO.