Kerajaan Taiwan sedang membangunkan sebuah aplikasi telefon pintar (app) yang akan membantu pengguna melakukan penjarakan sosial sebagai usaha membendung penularan wabak COVID-19.
Focus Taiwan melaporkan app tersebut akan dibangunkan oleh Jabatan Sekuriti Siber Taiwan dan boleh mula dimuat turun dalam seminggu dua nanti.
Menurut laporan media Taiwan itu lagi, app tersebut akan memberi amaran kepada telefon pintar pengguna jika mereka melanggar perintah penjarakan sosial apabila berada terlalu dekat dengan orang lain.
Selain itu ia turut akan memberi maklumat kawasan yang sesak dengan orang supaya pengguna boleh mengelak kawasan tersebut. Pengguna turut boleh melihat data yang menunjukkan berapa kerap mereka berada terlalu dekat dengan orang lain setiap hari.
App tersebut dibangunkan menggunakan teknologi Bluetooth dan sedang berada di peringkat percubaan awal. Data pergerakan pengguna juga akan dienkripsi supaya ia tidak boleh dimanipulasi untuk mencabuli hak privasi pengguna.
Penggunaan app tersebut tidak diwajibkan oleh kerajaan Taiwan. Sebaliknya ia hanya salah satu cara kerajaan mereka untuk membantu rakyat mereka melindungi diri mereka dari penyakit COVID-19.
Kerajaan Taiwan memberi panduan penjarakan sosial berikut kepada semua rakyatnya: semua orang wajib menjarakkan diri sejauh 1 meter di kawasan terbuka dan 1.5 meter di kawasan tertutup.
Seperti negara lain, Taiwan juga sedang bekerja keras untuk membandung penularan wabak COVID-19. Tetapi berbeza dengan negara lain, Taiwan menggunakan pengalamannya berdepan dengan wabak SARS pada tahun 2002 untuk menjadi negara paling awal bertindak dengan betul.
Sehingga kini, Taiwan hanya mencatat enam kes kematian wabak COVID-19.
Keefektifan Taiwan menangani penularan wabak COVID-19 sangat dikagumi sehinggakan mereka beberapa kali ‘melawan’ arahan World Health Organization (WHO). Pada Januari 2020, WHO menegaskan wabak COVID-19 tidak akan menjadi wabak pandemik dan masyarakat dunia tak perlu panik.
Semalam kerajaan Taiwan mendedahkan mereka telah menghantar emel kepada WHO untuk meminta maklumat lanjut mengenai kes awal wabak COVID-19 di Wuhan, China pada 31 Disember 2019.
Bagaimanapun emel itu tidak dibalas oleh WHO, kerana organisasi tersebut tidak mengiktiraf Taiwan sebagai ahlinya. Tindakan WHO itu dikritik oleh masyarakat dunia dan meningkatkan kesangsian WHO merupakan badan bebas yang tidak dikawal oleh kerajaan China.
Ketika ini Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom sedang hebat dikritik kerana menjadi ‘khadam’ China.