Selepas dunia dilanda pandemik yang berpanjangan, saban hari kita menunggu berita penciptaan vaksin oleh syarikat-syarikat gergasi farmaseutikal. Negara-negara kuasa besar, khasnya yang mempunyai kes jangkitan yang tinggi seperti China dan Amerika Syarikat, berlumba-lumba untuk menghasilkan vaksin dalam usaha muncul sebagai ‘penyelamat’ pertama kepada seluruh dunia.

Sejarah vaksin pertama di dunia

Sumber gambar: https://en.wikipedia.org/wiki/File:Jenner_phipps_01_(cropped).jpg

Vaksin adalah salah satu kejayaan penting di dalam sejarah dunia perubatan moden. Setelah vaksin diperkenalkan, banyak penyakit yang berbahaya seperti smallpox dan polio hampir hilang di dunia ini. Suntikan vaksin akan menyebabkan tubuh badan kita membina antibodi terhadap virus tertentu bagi melawan jangkitan penyakit.

Sejarah pengenalan vaksin untuk melawan penyakit berjangkit ini telah bermula berabad lamanya. Konsep vaksin bermula di Eropah, diperkenalkan oleh Edward Jenner pada tahun 1796 bagi melawan penyakit cowpox pada waktu itu. Sehingga kini, terdapat lebih daripada 20 penyakit berbahaya telah mempunyai vaksin masing-masing. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), vaksin telah berjaya menyelamatkan 2 hingga 3 juta kematian daripada pelbagai jenis penyakit berbahaya seperti kancing gigi, diphteria, campak dan influenza.

Vaksin pertama anda di Malaysia.

Program Imunisasi Kebangsaan bukanlah sesuatu yang asing di negara kita. Plan ini dirangka sejak 1950-an lagi bagi membendung penularan wabak seperti tuberkulosis ataupun tibi, campak, beguk, rubella, polio dan lain lain. Anda sudah pasti pernah divaksin sejak di bangku sekolah rendah lagi. Ini akan melibatkan pemberian imunisasi mencegah penyakit demam campak (Measles), Rubella, Difteria dan kancing gigi (Tetanus) untuk sewaktu kita berada di Darjah 1. Selain itu juga, imunisasi Human Papillomavirus (HPV) bagi murid perempuan Tingkatan 1 dan imunisasi ATT (dos tambahan vaksin Tetanus) bagi murid Tingkatan 3.

Kejayaan program imunisasi kebangsaan mencapai kemuncaknya pada tahun 2010, iaitu hampir enam dekad selepas dilancarkan apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengiktiraf Malaysia bebas daripada wabak polio. Sewaktu itu, hanya beberapa benua disahkan benar-benar bebas dari polio iaitu Amerika, Eropah dan kawasan Pasifik Barat Daya seperti Jepun, Australia dan China. Benua Afrika disahkan bebas daripada wabak polio pada tahun 2020, dengan Nigeria menjadi negara terakhir yang mencapai tahap imunisasi sehingga 95 peratus. 

Gergasi penyedia vaksin di dunia.

Berikut merupakan beberapa gergasi farmaseutikal dunia yang telah berjaya menghasilkan vaksin COVID-19 dari seluruh dunia. Ayuh ketahui sedikit sebanyak latar belakang institusi pembekal vaksin & perbezaan di antara vaksin-vaksin yang telah dihasilkan oleh mereka.

1. Pfizer-BioNTech

Kredit: https://www.ft.com/content/ebd9ca50-c2d7-4b0e-afd5-e90e93c0c495

Vaksin pertama ini adalah hasil gabungan dua buah syarikat farmaseutikal yang hebat & terkemuka. Pfizer merupakan sebuah firma gergasi yang bertaraf antarabangsa. Ia ditubuhkan semenjak tahun 1849 dan bertapak di bandar New York, Amerika Syarikat. BioNTech pula merupakan syarikat dari German yang ditubuhkan pada 2008 dan mempunyai kepakaran khas dalam bidang pembangunan vaksin berteknologi baru iaitu jenis mRNA.

Apabila kepakaran BioNTech ini digandingkan bersama syarikat seperti Pfizer – yang mempunyai pengalaman & kemahiran yang cukup luas dalam bidang perubatan – adalah tidak mustahil mereka mampu mencipta vaksin COVID-19 pertama yang diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Vaksin COVID-19 Pfizer  juga merupakan vaksin coronavirus pertama yang tiba di Malaysia – iaitu pada bulan Februari 2021. Justeru, ia telah digunakan untuk merasmikan Pelan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Kerajaan juga telah menandatangani perjanjian bersama Pfizer untuk membekalkan 32 juta dos vaksin atau 50 peratus daripada populasi atau penduduk di negara kita.

Seramai 166,363 individu dalam kumpulan fasa pertama menerima dos pertama vaksin COVID-19 daripada Pfizer menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat 8 Mac 2021.

2. Sinovac

Kredit: https://news.cgtn.com/news/2020-11-19/Sinovac-COVID-19-vaccine-trials-go-well-in-Turkey-says-local-expert-VyanMHPJ1S/index.html

Sinovac ditubuhkan pada tahun 2001 dan berpusat di Beijing. Ia merupakan salah satu syarikat yang telah berjaya menghasilkan vaksin SARS ketika dunia diserang wabak tersebut pada tahun 2002-2004. SARS dan COVID-19 merupakan virus yang berasal dari induk yang sama. Justeru penciptaan vaksin COVID-19 oleh Sinovac menjadi lebih mudah dan cepat dengan adanya teknologi vaksin SARS tersebut.

Sinovac juga merupakan salah satu syarikat farmaseutikal yang sangat terbuka kepada kerjasama antara negara. Hal ini dibuktikan dengan kolaborasi sulung mereka bersama Turki, Indonesia dan Brazil. Menariknya, syarikat tempatan kita juga (Pharmaniaga) bakal berkolaborasi dengan Sinovac bagi membekalkan 12 juta dos vaksin Sinovac COVID-19 kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk diedarkan ke hospital, klinik dan pusat kesihatan yang ditetapkan, setelah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.

Pada penghujung bulan Februari yang lalu, Vaksin COVID-19 Sinovac telahpun sampai ke Malaysia dan boleh diproses untuk menjadi lebih 300,000 dos suntikan bagi keperluan negara.

Apa yang kita perlu buat sebagai rakyat Malaysia?

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) memaklumkan, setakat jam 8 pagi pada hari ini, seramai 4.2 juta rakyat telah berdaftar sebagai penerima vaksin berbanding 3.8 juta orang, semalam. 

Seperti yang telah kita terangkan sebelum ini, penggunaan vaksin untuk melawan penyakit jangkitan yang berbahaya seperti Covid-19 ini bukanlah baru untuk rakyat Malaysia. Ayuh daftarkan diri dan keluarga anda sebagai penerima vaksin bagi fasa kedua dan ketiga kelak.

Anda boleh terus ke aplikasi MySejahtera untuk lakukan pendaftaran. 

Artikel perihal vaksin yang boleh anda baca di bawah:

3 Inisiatif Yang Malaysia Buat Untuk Cari Vaksin COVID-19

Sputnik V: Russia Dakwa Vaksin COVID-19 Mereka 92% Lebih Berkesan Daripada Amerika