Prinsipal Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali optimis bahawa pelumba legenda, Valentino Rossi masih mampu untuk terus menjelmakan sesuatu yang menarik dalam saingan MotoGP.

Pada usia 41 tahun, pelumba kelahiran Urbino, Itali itu berjaya menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Andalucia di tempat ketiga yang menyaksikan Rossi menaiki podium kelas premier buat kali ke-199.

Perkembangan itu sudah pastinya disambut baik oleh Datuk Razlan susulan usaha Petronas Yamaha SRT untuk membawa masuk Rossi bagi menggantikan Fabio Quartararo yang akan menyertai Monster Energy Yamaha MotoGP pada saingan 2020/21.

”Sejujurnya saya sedikit ragu-ragu selepas berakhirnya perlumbaan pertama,” ujar Datuk Razlan menurut laporan The Star.

”Saya terus mengatakan kepada diri saya sendiri bahawa ‘The Doctor’ [merujuk gelaran diberikan kepada Valentino Rossi] akan kembali dan dia melakukannya.”

Datuk Razlan Razali. Kredit foto: Petronas SRT

”Dia sangat mengagumkan saya memandangkan keadaan yang sangat teruk ketika kita berlumba. Ia telah membuatkan segalanya menjadi mudah.”

”Kami adalah Petronas SRT dan kami membuat pilihan berdasarkan perniagaan tetapi di sisi lain, kami tidak boleh mengabaikan peminat yang mungkin menginginkan pelumba tempatan.”

”Ini bukan pilihan paksaan tetapi dia [Valentino Rossi] bukanlah pelumba biasa-biasa,” tambah Datuk Razlan lagi.

Laporan sebelum ini menyebut juara dunia sembilan kali itu menafikan bahawa beliau sudah memeterai perjanjian untuk menyertai kelab dari Malaysia tersebut.

Tetapi, tanpa berselindung Rossi mendedahkan kepada laman sesawang rasmi MotoGP di mana proses rundingan bersama Petronas Yamaha SRT sudah mencapai 99 peratus.

Kredit featured image: Valentino Rossi VR46 Official

Baca artikel lain yang berkaitan: