Selepas menjadi antara Majlis Perbandaran terawal memperkenalkan pembayaran parkir menggunakan aplikasi di telefon pintar, Majlis Perbandaran Sepang mengorak langkah dengan menukar sistem kupon parkir. Sistem bayaran menggunakan sistem kupon gores sedia ada akan digantikan dengan sistem GoPayy.

Kupon digital GoPayy bermula akan bermula secara rasmi pada hari ini, 1 Jun 2021. Ini merupakan salah satu langkah menyokong strategi kerajaan negeri bagi meningkat taraf pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai bandar pintar yang mengutamakan teknologi hijau bandar rendah karbon.

Menurut Yang Dipertuanya, Datuk Abd Hamid Hussain, Majlis Perbandaran Sepang adalah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Selangor yang memperkenalkan kaedah kupon digital pembayaran caj tempat letak kereta awam. Sistem GoPayy memudahkan orang ramai membayar caj parkir khususnya kepada pengguna yang tidak memiliki telefon pintar. Bagi membantu dan memudahkan pengguna, pihaknya akan menyediakan gerai di beberapa kawasan di daerah ini bagi memperkenalkan sistem GoPayy ini kepada orang ramai.

Majlis Perbandaran Sepang juga akan melantik ejen kupon gores yang sedia ada sebagai ejen jualan sistem GoPayy yang baharu. Ini akan memudahkan lagi warga emas yang sudah biasa dengan peniaga sedia ada untuk membayar melalui sistem GoPayy tanpa perlu tercari-cari kedai baharu yang menyediakan khidmat ini. Pengguna hanya perlu memberikan nombor pendaftaran kenderaan kepada wakil ejen dan membuat bayaran caj petak kereta berdasarkan tempoh jam diperlukan serta mendapatkan resit pembayaran.

GoPayy akan membolehkan pengguna membayar parkir mereka secara jam, harian, belian pas bulanan serta menyelesaikan tunggakan saman parkir.