Amerika Syarikat sebelum ini mengumumkan keputusannya untuk mengundurkan tenteranya dari Afghanistan menjelang hujung bulan Ogos yang turut diikuti oleh tentera gabungan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Tindakan itu mendorong kumpulan Taliban memperhebatkan serangan selepas 20 tahun menunggu dan hanya mengambil masa 10 hari untuk menawan keseluruhan Afghanistan.

Perang selama dua dekad itu bermula apabila Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-43, George W Bush menghantar tenteranya ke Afghanistan pada tahun 2001 selepas serangan 11 September di Pusat Perdagangan Dunia New York.

Punca peperangan pada tahun 2001

Kredit gambar: https://www.aarp.org/politics-society/history/info-2021/911-anniversary.html

Serangan oleh Al-Qaeda terhadap Pusat Perdagangan Dunia New York dan Pentagon di Arlington County, Virginia pada tahun 2001 menyebabkan kehilangan lebih 3,000 nyawa. Selepas itu, Amerika Syarikat dan tentera gabungan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bertindak balas.

Serangan mereka ditujukan ke kedudukan Taliban di Afghanistan yang melindungi Al-Qaeda dan pemimpin utamanya, Osama Bin Laden. Osama dan kumpulan Al-Qaeda mengaku bertanggungjawab terhadap serangan yang dilancarkan ke Amerika Syarikat tersebut.

Afghanistan pasca perang 2001

Kredit gambar: https://www.bbc.com/news/world-south-asia-12011352

Selepas diserang melalui serangan udara selama dua bulan oleh tentera bersekutu Amerika Syarikat dan NATO, akhirnya Taliban mengundurkan diri. Rejim pemerintahan mereka tumbang di Afghanistan dan saki baki tenteranya melarikan diri ke sempadan Pakistan.

Namun begitu, Taliban tidak lenyap begitu sahaja. Mereka kembali membina pengaruh di sana dengan bersembunyi dan mengumpul kekuatan di kawasan pergunungan dan gua-gua terpencil. Saban hari, mereka mengumpul kekayaan dengan menyerang konvoi perniagaan yang melalui kawasan tersebut.

Pasca perang, Afghanistan memiliki pemerintahan baru yang disokong oleh Amerika Syarikat pada tahun 2004. Namun, Taliban tidak berdiam diri dengan melancarkan pelbagai siri serangan terhadap kedudukan kerajaan.

Negara yang sentiasa terjebak dengan konflik

Kredit gambar: https://newlinesmag.com/argument/what-the-cia-did-and-didnt-do-in-soviet-occupied-afghanistan/

Perang yang melanda Afghanistan pada tahun 2001 sebenarnya bukanlah konflik baru buat rakyatnya. Selama berdekad-dekad sebelum itu lagi, Afghanistan telah dilanda oleh pelbagai konflik bersenjata.

Pada tahun 1970-an, pasukan Soviet telah memerangi Afghanistan untuk menubuhkan kerajaan berhaluan komunis di negara tersebut. Mereka mendapat tentangan sengit daripada kumpulan Mujahidin yang didokong oleh Amerika Syarikat, Pakistan, China, Arab Saudi dan beberapa buah negara yang lain.

Soviet akhirnya mengundurkan diri pada tahun 1989 dan mewujudkan kelompongan kuasa di Afghanistan. Berlaku beberapa perang saudara yang tidak berkesudahan selepas pengunduran itu. Dalam masa yang sama, Taliban membina kekuatan mereka semasa negara berada di dalam kancah konflik.

Taliban membina pengaruh di Afghanistan

Kredit gambar: https://www.nytimes.com/article/who-are-the-taliban.html

Kumpulan Taliban muncul dari sempadan wilayah utara Pakistan dan barat daya Afghanistan pada awal 1990-an. Pada mulanya, mereka bertekad untuk memerangi jenayah rasuah yang membelenggu Afghanistan selepas perang saudara yang berpanjangan.

Kemunculan mereka pada awalnya dilihat bakal memberi keamanan buat negara bergolak terbabit. Atas fahaman yang bercampur baur antara agama dan ekstrimis, mereka mula menerapkan pelbagai undang-undang yang dilihat menekan wanita dan kanak-kanak perempuan. Wanita tidak dibenarkan untuk bekerja dan mereka diwajibkan memakai burka bagi menutup wajah selain kanak-kanak perempuan tidak dibenarkan untuk bersekolah.

Mereka juga menerapkan undang-undang syariah seperti hukuman bunuh di khalayak ramai bagi pembunuh dan penzina, selain pemotongan tangan bagi pencuri. Taliban turut mengharamkan televisyen dan nyanyian muzik.

Mengundurkan diri ke Pakistan

Kredit gambar: https://www.bbc.com/news/world-south-asia-11451718

Selepas diserang dengan serangan udara secara bertubi-tubi, kumpulan Taliban mengundurkan diri ke kawasan pergunungan di sempadan Afghanistan dan Pakistan. Namun hakikatnya, pada tahun 2014 lagi tentera bersekutu Amerika Syarikat dan NATO tidak lagi aktif memerangi Taliban. Serangan terhadap kedudukan Taliban diserahkan kepada Tentera Negara Afghanistan yang kerap kali tewas melawan kumpulan terbabit.

Ia seakan-akan memberikan momentum dan tenaga untuk Taliban kembali menyerang dan menguasasi beberapa wilayah di Afghanistan. Pada tahun 2018, satu laporan BBC menunjukkan bahawa Taliban telahpun menguasai 70 peratus daripada keseluruhan wilayah Afghanistan.

Punca utama pengunduran tentera Amerika Syarikat

Kredit gambar: https://www.csmonitor.com/World/Asia-South-Central/2012/0930/Afghanistan-war-claims-2-000th-US-soldier-but-pace-slowing

Perang selama dua dekad ini sebenarnya telah meragut 2,311 orang nyawa tentera Amerika Syarikat. Selain itu juga seramai 20,000 dilaporkan cedera akibat serangan oleh Taliban. Tidak terkecuali, ramai daripada tentera pakatan NATO juga mengalami kematian dan kecederaan yang serius akibat serangan bom oleh Taliban.

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, mempertahankan keputusannya mengundurkan tenteranya dari Afghanistan biarpun ia menyebabkan Taliban mudah menguasai negara itu. Keputusan beliau adalah hasil daripada komitmen kepada pasukan tentera Amerika Syarikat dan menegaskan beliau kekal dengan pendiriannya serta menolak kritikan mengenai keputusan itu.

Biden menegaskan sudah tiba masanya pembabitan AS dalam perang diakhiri dan rakyat Afghanistan perlu merancang masa depan mereka sendiri. Amerika Syarikat hanya mahu membawa pulang baki tentera mereka di sana dengan selamat.

Sepanjang dua dekad lalu, Amerika Syarikat juga dilaporkan telah membelanjakan hampir RM4.135 trilion (USD$1 trilion) bagi memerangi Taliban di Afghanistan.

Perjanjian dengan kumpulan Taliban

Kredit gambar: https://apnews.com/article/joe-biden-middle-east-taliban-doha-e6f48507848aef2ee849154604aa11be

Sewaktu pemerintahan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pernah menandatangani perjanjian damai dengan kumpulan Taliban. Pada Februari 2020, Amerika Syarikat dan Taliban telah bersetuju untuk memulihkan perdamaian di Afghanistan dengan kesemua tentera Amerika Syarikat dan pakatan NATO mengundurkan diri dari negara tersebut. Sebagai balasan, Taliban tidak akan bersekongkol dengan Al-Qaeda atau mana-mana kelompok ekstrimis untuk beroperasi di wilayah yang dikendalian oleh Taliban.

Selepas rundingan damai tersebut, Amerika Syarikat dan Taliban saling melepaskan tahanan perang masing-masing. Seramai 5,000 orang tentera Taliban dibebaskan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya NATO dalam tempoh beberapa bulan selepas rundingan tersebut.

Malangnya, rundingan tersebut tidak dihadiri oleh pemerintah Afghanistan. Amerika Syarikat membuat rundingan secara terus dengan Taliban. Malah, Donald Trump pada ketika itu turut berjanji akan menarik semula sekatan ekonomi dan kewangan yang dikenakan terhadap mereka dan mengesyorkan agar PBB membuat tindakan yang sama.

Saki baki tentera Amerika Syarikat di Afghanistan

Kredit gambar: https://www.forbes.com/sites/siladityaray/2021/07/02/us-military-vacates-afghanistans-bagram-air-base-after-nearly-two-decades/?sh=7d9a97817abf

Pada awal pemerintahan Donald Trump, terdapat hampir 17,000 tentera Amerika Syarikat yang berada di sana. Menurut laporan media, pasukan terakhir tentera Amerika Syarikat dan NATO sudahpun meninggalkan Pengkalan Udara Bagram.

Hanya terdapat sekitar 650 orang tentera Amerika Syarikat yang masih kekal di sana bagi menjaga keamanan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kabul. Kumpulan tentera tersebut bertanggungjawab bagi menguruskan perjalanan para diplomat dan tentera NATO yang akan meninggalkan negara tersebut.

Situasi terkini di Afghanistan

Kredit gambar: https://www.ndtv.com/world-news/taliban-will-shut-down-media-afghan-photographer-warns-2521414

Pada 15 Ogos 2021, Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani meninggalkan negara itu selepas Taliban memasuki Kabul. Taliban mengisytiharkan kemenangan selepas pertempuran yang hanya memakan masa selama 10 hari.

Selepas berjaya melarikan diri, Presiden Afghanistan tersebut mengumumkan Taliban sudah menang selepas mereka masuk ke Kabul, 20 tahun selepas mereka diusir oleh tentera gabungan Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Sejak 14 Ogos, Amerika Syarikat (AS) telahpun memindahkan dan memudahkan misi bagi membawa keluar sekitar 100,100 orang penduduk Afghanistan. Pengumuman tersebut dibuat dengan mengambil kira tarikh akhir pengunduran tentera AS dan bagi negara Barat lain menamatkan misi memindahkan rakyat Afghanistan, iaitu 31 Ogos ini. Secara keseluruhan, dianggarkan 7,500 penduduk dipindahkan dari Kabul dalam tempoh 12 jam.

Perang dua dekad dan kesannya terhadap Afghanistan

Kredit gambar: https://www.reuters.com/world/evacuations-afghanistan-by-country-2021-08-18/

Ramai yang menyifatkan pengunduran tentera Amerika Syarikat ini sama dengan pengunduran mereka dari Vietnam. Ia merupakan satu lagi kegagalan yang telah dijangka.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, pula menolak andaian sesetengah pihak menyamakan pengunduran dari Afghanistan dengan pengunduran tentera AS dari Saigon, Vietnam pada 1975. Menurut beliau, tentera Amerika memasuki Afghanistan 20 tahun lalu dengan matlamat menghukum mereka yang bertanggungjawab melakukan serangan pada 11 September (9/11) dan misi itu sudah berjaya.

Lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, iaitu Perancis, Britain, Amerika Syarikat, Russia dan China dijadual mengadakan pertemuan esok bagi membincangkan situasi di Afghanistan. Perancis dan Britain akan menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mewujudkan sebuah zon selamat di Kabul bagi melindungi operasi kemanusiaan di Afghanistan.

Taliban kini kembali menguasai Afghanistan sepenuhnya, selepas perang selama dua dekad.