Wakaf merupakan antara institusi kewangan yang tertua dalam sejarah perkembangan Islam. Amalan berwakaf sudah bermula sejak zaman Rasulullah SAW iaitu ketika baginda membina Masjid Quba’. Menggunakan konsep wakaf, pembinaan masjid tersebut merupakan sebahagian daripada siri penting dalam misi perintah hijrah ke Madinah.

Dari segi bahasa, wakaf bermaksud tahan atau berhenti. Takrif yang paling lengkap diperkenalkan oleh Imam Abu Hanifah iaitu menahan sesuatu harta dalam milik pewakaf dan disedekahkan manfaatnya untuk tujuan kebajikan.

Ini kisah seorang saudagar kain bernama Ahmad Dawjee Dadabhoy yang meninggalkan harta wakaf kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Latar belakang Ahmad Dawjee Dadabhoy

Kredit gambar: Malaysia United

Ahmad Dawjee dilahirkan pada tahun 1907 di Gujerat, India. Beliau merupakan seorang hartawan dan ahli perniagaan yang telah berjaya dalam bidang tekstil dan kain.

Beliau fasih dalam pelbagai bahasa dan amat gemar pada kitab dan ilmu. Pada tahun 1940an, setelah merantau ke seluruh dunia selama berdekad, beliau memilih untuk tinggal di Kuala Lumpur.

Sejak dahulu lagi, beliau telah menginfaqkan hartanya dengan mewujudkan waqaf. Pada asalnya, ia bermula sebagai wakaf keluarga tetapi kemudiaannya dinamakan Al-Waqf Al-Islami Al-Aalamee. Suratcara penubuhan wakaf ini telah diedarkan pada tahun 1971.

Wakaf kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan

Kredit gambar: Nestia

Dengan penampilan serta gaya hidup sederhana, kediaman terakhir beliau hanyalah sebuat flat di Jalan Masjid India.  Ia dipenuhi kitab-kitab serta majalah yang akhirnya turut diwakafkan.

Allahyarham telah kembali ke Rahmatullah pada 24 Januari 1987, ketika berusia 82 tahun tanpa meninggalkan waris.

Dengan penampilan serta gaya hidup sederhana, kediaman beliau sehingga akhir hayat hanyalah sebuat flat di Jalan Masjid India yang dipenuhi kitab-kitab serta majalah. Tiada siapa yang tahu warga tua yang sering kelihatan di warung-warung persekitaran merupakan seorang dermawan yang murah hati.

Sebelum meninggal dunia, beliau telah menyatakan hajat untuk meneruskan amalan wakaf beliau yang terdiri daripada beberapa aset hartanah dan juga saham kepada pihak berkuasa agama. Melalui wakaf tersebut, hartanya yang berupa sebidang tanah yang luas sekitar 1.2 ekar di Jalan Perak dan juga beberapa aset lain menjadi milik penguasa dengan manfaat kepada umat Islam.

Bertarikh pada 18 September 1991, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengeluarkan vesting order bahawa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) adalah pemegang amanah almarhum memandangkan beliau tidak mempunyai waris serta bagi memenuhi wasiat beliau.

Aset wakaf bernilai RM197 juta

Kredit gambar: Prebiu

Wakaf Ahmad Dawjee berupa hartanah di kawasan yang begitu tinggi nilainya ini membolehkan ianya dimajukan dan akhirnya memberi pulangan yang besar kepada umat Islam. Nilai tanah tersebut sebelum dibangunkan pada tahun 2007 berjumlah RM34 juta.

Tanah tersebut kemudiannya dibangunkan sebagai sebuah menara wakaf 34 tingkat yang hari ini dikenali sebagai Menara Wakaf Bank Islam. Pada tahun 2019, hartanah tersebut dianggarkan bernilai RM197 juta.

Hasil pajakan yang diterima oleh MAIWP bagi tempoh 25 tahun berjumlah RM56.60 juta. Manfaat terhadap aset wakaf juga dapat disalurkan untuk kebajikan umum yang melibatkan masyarakat bukan Islam seperti derma kepada yayasan kanser atau rumah warga emas tanpa mengira latar belakang agama.

Nama beliau juga diabadikan di surau diri Jumaat Menara Wakaf Bank Islam tersebut dengan nama Surau Wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy.