Aktiviti pelancongan dilihat semakin rancak selepas pelonggaran sekatan pergerakan dan aktiviti rekreasi. Bagi kaki pancing, aktiviti memancing di laut merupakan aktiviti rekreasi yang menjadi pilihan mereka setelah sekian lama menyimpan joran. Sehingga tahun 2010, Persatuan Memancing Malaysia (PeMM) menganggarkan terdapat seramai 2.2 juta orang pemancing rekreasi di Malaysia.

Namun begitu, terdapat beberapa persediaan penting yang perlu diketahui oleh kaki pancing sebelum turun ke laut. Antaranya ialah pemilihan bot yang sesuai dengan lesen yang betul.

Sebenarnya, terdapat banyak perbezaan di antara lesen bot nelayan dan lesen bot pengangkutan yang digunakan oleh kaki pancing. Tanpa pengetahuan yang betul, kaki pancing mungkin telah melanggar undang-undang laut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Lesen bot perkhidmatan penumpang (bot memancing)

Kredit gambar: Umpan

Perbezaan paling ketara adalah lesen bagi bot perkhidmatan penumpang seperti bot pemancing ini dikeluarkan oleh Jabatan Laut Malaysia. Lesen ini terpakai bagi aktiviti-aktiviti pengangkutan awam di laut.

Aktiviti rekreasi di laut seperti island hopping, snorkeling dan memancing berada di dalam kategori lesen bot perkhidmatan penumpang. Bagi aktiviti tangkapan ikan, hanya joran pancing dibenarkan untuk dibawa di dalam bot ini.

Bukan itu sahaja, jurumudi juga perlu memiliki sijil kompetensi bagi mengemudi bot tersebut. Sijil kompetensi ini sama konsepnya seperti lesen memandu kenderaan darat yang dikeluarkan oleh Jabatan Penangkutan Jalan (JPJ).

Lesen bagi bot nelayan

Kredit gambar: YouTube

Tidak seperti bot perkhidmatan penumpang, lesen bagi bot nelayan pula dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia. Perbezaan ketara ini kerana menurut buku lesen tersebut, terdapat beberapa perkara yang perlu dipatuhi oleh nelayan.

Sebagai contoh, saiz bot dengan jumlah awak-awak yang dibawa perlu mematuhi lesen yang dikeluarkan. Peralatan menangkap ikan juga terhad mengikut lesen yang dikeluarkan terhadap bot tersebut.

Jabatan Perikanan Malaysia membahagikan zon tangkapan ikan kepada beberapa zon. Selain itu juga, bot nelayan mempunyai kelas-kelas berbeza mengikut saiz seperti A, B, C dan C2.

Bot nelayan juga dicat dengan warna berbeza mengikut warna rumah kemudi. Misalnya, bot berwarna merah berasal dari Kelantan. Nelayan dari negeri Terengganu pula menggunakan bot berwarna hijau.

Zon larangan tangkapan ikan

Kredit gambar: Utusan

Sebenarnya, terdapat beberapa kawasan yang diwartakan sebagai kawasan larangan bagi tangkapan ikan. Sebagai contoh, kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan kurang daripada lima batu nautika seperti kebenaran syarat sah lesen. Aktiviti memasang jaring dalam kawasan larangan Taman Laut Malaysia merupakan suatu kesalahan.

Undang-undang ini bagi memastikan proses pemuliharaan semula jadi stok ikan dan kualiti ekosistem sentiasa terpelihara. Ia juga bagi mewujudkan kawasan menangkap ikan yang stabil serta penerokaan yang mapan untuk nelayan dan juga hasil laut negara.