Amerika Syarikat (US) menarik semula pengharaman sarung tangan getah Malaysia selepas menerima kenaikan permintaan yang tinggi untuk membendung wabak COVID-19.

US sebelum ini menuduh WRP Asia Pacific Sdn. Bhd menggunakan buruh paksa di kilangnya di Sepang, Selangor.

Pertuduhan ini kemudiannya diikuti dengan langkah pengharaman sarung tangan getah dari syarikat itu pada September 2019.

US Customs and Border Protection (CBP) mengumumkan penarikan status pengharaman sarung tangan getah buatan WRP Asia Pacific itu semalam (24 Mac).

Semua sarung tangan getah yang diperbuat selepas 16 Mac 2020 dibenarkan masuk ke semua pintu masuk pelabuhan di US.

US menarik balik pengharaman itu atas alasan ‘WRP Asia Pacific tidak lagi menghasilkan sarung tangan getah menggunakan buruh paksa’.

“Kami sangat gembira usaha penarikan semula pengharaman ini memulihkan bekalan sarung tangan secara signifikan dan menghasilkan persekitaran kerja yang lebih selesa,” kata Brenda Smith, Timbalan Komisioner Eksekutif CBP kepada Channel News Asia.

Pekerja Nepal mogok

Malaysiakini sebelum ini pernah melaporkan kira-kira 2,000 pekerja kilang WRP, yang terdiri daripada warga asing dari Nepal, mengadakan mogok selama tiga hari pada Januari 2019.

Laporan dari Jabatan Buruh mendapati WRP tidak membayar gaji pekerjanya, tidak membayar elaun kerja lebih masa, memotong gaji pekerja sewenang-wenangnya dan menguatkuasakan waktu kerja pada waktu rehat dan cuti umum.

Embed from Getty Images

Mogok dari pekerja kilang mereka ini membuatkan ahli lembaga pengarah WRP terkejut. Apatah lagi ia membuatkan sarung tangan keluaran syarikat mereka diharamkan di US.

WRP kemudiannya membuat siasatan dalaman dan mendapati kekusutan ini berpunca daripada pengurusan teruk ketua pegawai eksekutifnya, Lee Hon Seng.

Pada November 2019, WRP memecat Lee Hon Seng dan mengheretnya ke mahkamah atas tuduhan pecah amanah yang melibatkan wang sejumlah RM8.4 juta.

Selepas memecat ketua pegawai eksekutif mereka, WRP kemudiannya menyuntik dana sebanyak RM3.25 juta untuk membayar hutang gaji kepada pekerja mereka. Langkah ini membantu menyuntik keyakinan kepada US bahawa WRP tidak lagi menggunakan buruh paksa.

WRP Asia Pacific, yang mempunyai kapasiti menghasilkan lebih daripada 11 bilion produk setahun merupakan punca utama Malaysia adalah pengeluar terbesar sarung tangan getah dunia.

Ketika ini sarung tangan getah menerima permintaan tinggi berikutan penularan wabak COVID-19 yang telah meragut lebih 16,500 kes kematian.

US pula merupakan pengguna sarung tangan getah terbesar di dunia.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai impak wabak COVID-19: