Ketika melalui mana-mana kedai gunting rambut, pasti kita akan melihat tiang lampu berwarna di hadapannya. Kebiasaannya, tiang ini berwarna merah, biru dan putih dan berputar.
Warna tersebut juga kadangkala berbeza di beberapa tempat. Di Amerika Syarikat, warna yang digunakan adalah merah, biru dan putih seperti warna bendera negaranya Stars and Stripes.
Oleh sebab itu, ia kerapkali disalahertikan sebagai pilihan warna yang patriotik. Manakala di Eropah, kebiasaannya tiang lampu berputar tersebut memiliki warna merah dan putih.
Pada hari ini, simboliknya tiang tersebut digelar sebagai barber’s pole. Sekiranya menyala, pelanggan akan tahu bahawa kedai tersebut masih lagi beroperasi.
Namun, warna-warna lampu tersebut mempunyai kisah ngeri disebaliknya.
Tukang gunting rambut = pakar bedah
Dipercayai bahawa sejak zaman Mesir Purba, tukang gunting rambut antara pekerjaan yang masih kekal sehingga hari ini. Mereka sangat mahir dengan menggunakan alatan tajam. Maka, selain daripada memotong rambut dan mencukur misai dan janggut, tukang gunting ini memiliki tugas khas.
Tugas-tugas khas ini berkaitan dengan perkhidmatan perubatan. Kerana kecekapan mereka, tukang gunting rambut turut ditugaskan sebagai pakar pedah. Pada zaman pertengahan, sebarang pembedahan kecil pada waktu itu akan dijalankan di kedai gunting rambut.
Selain itu juga, terdapat satu proses perubatan yang digelar bloodletting. Ketika itu, kononnya penyakit adalah disebabkan oleh darah kotor yang terkumpul di dalam badan.
Rawatan tersebut turut dihadiri oleh paderi yang berpengetahuan dalam bidang bloodletting. Pesakit akan dibawa untuk bertemu dengan tukang gunting rambut bagi menoreh badan mereka dan mengeluarkan darah kotor.
Amalan mengeluarkan darah kotor ini akhirnya dihentikan seiring dengan kemajuan perubatan moden.
Bloodletting dan warna barber’s pole
Selepas melaksanakan prosedur bloodletting, tukang gunting akan menggantungkan kain bandage di tiang-tiang bagi mengeringkannya. Warna merah pada tiang tersebut melambangkan darah.
Apabila bandage tersebut ditiup oleh angin, ia akan kelihatan seperti pusingan barber’s pole yang dilihat pada hari ini. Warna biru pula dikatakan memberi perlambangan kepada warna urat darah di badan manusia.
Pada hari ini, tukang gunting rambut bukan lagi seorang pakar bedah. Namun begitu, tradisi warna barber’s pole ini kekal di seluruh dunia. Biarpun nampak bersahaja, ia melambangkan kisah ngeri disebalik tugas dan tanggungjawab tukang gunting rambut pada zaman dahulu kala.