Facebook nampaknya mula menggunakan cara Twitter dengan mendorong pengguna untuk membaca artikel berita sebelum berkongsi berita tersebut kepada khalayak. Kempen yang dimulakan oleh Twitter bagi mengekang penyebaran berita palsu ini nampaknya akan dimanfaatkan oleh Facebook.

Mulai minggu ini, pengguna akan melihat arahan yang mengatakan bahawa mereka mungkin terlepas “fakta penting” dengan berkongsi artikel tersebut tanpa membacanya terlebih dahulu. Pengguna seterusnya mempunyai pilihan untuk membuka dan membaca artikel tersebut terlebih dahulu ataupun terus berkongsi.

Pembacaan ini adalah penting bagi pengguna menilai isi kandungan berita tersebut tanpa hanya membaca pada tajuknya sahaja. Facebook mengumumkan perubahan ini di Twitter mereka:

Menurut Twitter, arahan untuk membaca dahulu sebelum berkongsi tersebut berkesan di platform mereka dengan 40 peratus daripada pengguna membaca artikel tersebut terlebih dahulu. Sejak fasa percubaan pada Jun 2020 dan sehingga kini, 33 peratus pengguna akan berkongsi tweet yang telahpun mereka baca dan faham terlebih dahulu.