Semalam, Yang di-Pertuan Agong telah mengurniakan seramai 1,207 individu dengan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2021. Kurniaan tersebut dianugerahkan di dalam Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2021 bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.

Darjah Kebesaran Persekutuan merupakan anugerah darjah kebesaran yang dikurniakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada pemimpin dan rakyat Malaysia yang telah berjasa, berkorban dan berbakti kepada negara serta para pembesar dan diplomat negara-negara asing.

Bersempena Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong kali ini, beberapa orang tokoh ternama telah dikurniakan dengan gelaran Tan Sri. Ini termasuklah Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani. Kedua-dua mereka telah menerima darjah kebesaran Panglima Mangku Negara (PMN). Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula dikurniakan dengan darjah Panglima Setia Mahkota (PSM).

Kedua-dua darjah ini membawa kepada gelaran Tan Sri. Ini sejarah latar belakang darjah tersebut serta perbezaan antara keduanya.

Cetusan idea Tunku Abdul Rahman

Kredit gambar: Getty Images

Menerusi perkongsian di laman Facebook Mi Kari Kuah Laksa, asal usul gelaran Tan Sri akhirnya terungkai. Pada tahun 1958, iaitu tahun pertama setelah memerintah Tanah Melayu, berlangsunglah istiadat penganugerahan Darjah Persekutuan yang pertama kali diadakan pada 19 Oktober 1958.

Pada tahun tersebut, susunan Darjah-Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara adalah seperti berikut:

1. Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N) – gelaran Tun;
2. Panglima Mangku Negara (P.M.N) – gelaran Datuk;
3.Johan Mangku Negara (J.M.N) – tiada gelaran;
4. Ahli Mangku Negara (A.M.N) – tiada gelaran;
5. Pingat Pangkuan Negara (P.P.N) – tiada gelaran.

Selaku Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman melihat keperluan untuk membezakan gelaran darjah kurniaan persekutuan dan darjah negeri. Ini kerana, kesemua negeri pada waktu itu turut mengurniakan darjah yang sama iaitu Datuk.

Tunku merasakan darjah kurniaan kerajaan persekutuan mestilah berbeza dan dilihat lebih istimewa berbanding darjah negeri kerana keutamaannya.

Cadangan asal adalah Tan, bukan Tan Sri

Kredit gambar: MCA

Cadangan awal oleh Tunku Abdul Rahman adalah memberi gelaran Tan kepada penerima darjah kebesaran persekutuan. Tunku mencadangkan gelaran Tan untuk darjah Panglima Mangku Negara ini kerana ada juga pembesar dahulu kala di zaman purba yang bergelar Tan. Misalnya di zaman Merong Mahawangsa ada pembesar yang diberi gelaran Tan Perkasa.

Namun begitu, gelaran Tan tidak bertahan lama.

Diumumkan pada 30 Mac 1966, kerajaan persekutuan bersetuju untuk menukarkan gelaran Datuk untuk Panglima Mangku Negara menjadi Tan. Seperti dijangka, pengumuman itu menimbulkan pelbagai reaksi dan pertikaian dari masyarakat umum.

Ini kerana, terdapat ramai masyarakat Cina yang mempunyai nama keluarga Tan. Ahli perniagaan seperti Tan Sri Tan Chin Tuan, Tan Sri Tan Kean Soon dan bekas Menteri Kewangan Tan Sri Tan Siew Sin adalah contoh terbaik. Maka, gelaran Tan, diikuti dengan nama keluarga mereka Tan dilihat sebagai pengulangan.

Hanya beberapa hari selepas itu, Tunku Abdul Rahman mengumumkan gelaran baharu untuk Tan iaitu Tan Sri, berkuatkuasa 12 April 1966. Gelaran tersebut kekal sehingga hari ini.

Perbezaan keutamaan antara gelaran Tan Sri

Kredit gambar: Astro Awani

Berbalik kepada penerimaan gelaran Tan Sri, sebenarnya terdapat perbezaan di antara dua darjah kebesaran ini. Darjah kebesaran Panglima Mangku Negara (PMN) dan Panglima Setia Mahkota (PSM) kedua-duanya membawa kepada gelaran Tan Sri.

Perbezaan paling ketara adalah kumpulan darjah tersebut, selain jumlah penerimanya.

Panglima Mangku Negara (P.M.N) ialah Darjah Pangkat Kedua dalam keluarga Darjah-darjah Yang Mulia Pangkuan Negara (YMPN) dan Kelas Pertama bagi kurniaan ‘Tan Sri’. Penyandangnya bergelar ‘Tan Sri’ dan jika beristeri, maka isterinya bergelar ‘Puan Sri’.

PMN dikurniakan kepada mereka yang ternama dan bertaraf tinggi yang telah memberi perkhidmatan cemerlang kepada negara dalam apa jua lapangan. Bagi pegawai kerajaan, pengurniaan ini sesuai bagi mereka yang berada di perjawatan Turus I. Jumlah anugerah terhad kepada 75 orang sahaja dan ini tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat.

YDP Dewan Negara dan Dewan Rakyat, bekas Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara (KPN) adalah merupakan penerima PMN mengikut garis panduan penerima darjah kebesaran persekutuan.

PMN adalah berbeza kelasnya dengan Panglima Setia Mahkota (PSM). PSM merupakan Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia Pangkat Kedua. Darjah kebesaran ini membawa gelaran ‘Tan Sri’ manakala isteri penerima bergelar ‘Puan Sri’.

Darjah Kkebesaran ini mempunyai had keanggotaan seramai 1,000 orang, tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat. Bekas Menteri Besar, bekas Ketua Menteri, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah/Sarawak, Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Mahkamah Rayuan adalah antara penerima PSM.