Wabak koronavirus (2019-nCoV) yang merebak di seluruh China dan luar negara akan menjejaskan industri pelancongan Malaysia. Dengan jangkaan kerugian yang berjumlah berjuta-juta ringgit.

Ini susulan daripada laporan bahawa kerajaan China telah menggantung sementara lawatan keluar rakyat mereka ke luar negara.

Malaysian Association of Tour and Travel Agents / Persatuan Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) menerusi Presidennya Datuk Tan Kok Liang berkata, agensi pelancongan dan syarikat pelancongan di Malaysia telah diberitahu oleh rakan-rakan mereka di China mengenai penggantungan sementara yang berkuatkuasa esok.

Beliau berkata: “Koronavirus Wuhan akan menjejaskan industri pelancongan negara. Matta berharap keadaan itu dapat dibendung dan ia akan berlaku hanya untuk tempoh yang singkat.”

“Jika tidak, kesannya akan teruk kerana ia akan menjejaskan industri pelancongan bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di peringkat global.”

“Setakat ini, pelancongan dalam dan luar negara antara Malaysia dan China sudah lumpuh disebabkan oleh dasar kuarantin yang dikenakan oleh China.”

“Para pelancong Malaysia juga diberi amaran perjalanan ke China, “katanya lagi.

Dari Januari hingga September tahun lalu, China menjadi sumber pelancongan ketiga terbesar untuk Malaysia dengan 2.41 juta pelancong masuk, selepas Singapura (7.8 juta) dan Indonesia (2.7 juta).

Bloomberg melaporkan bahawa China telah mengarahkan agensi pelancongan mereka untuk menggantung semua aktiviti pelancongan domestik dan antarabangsa untuk merangkumi penyebaran 2019-nCoV, yang mula-mula dikesan di Wuhan bulan lepas.

Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan China telah mengarahkan agensi pelancongan dan syarikat pelancongan negara itu untuk berhenti menjual pakej pelancongan mulai Jumaat lalu.

Penggantungan itu berlaku pada permulaan cuti Tahun Baru Cina, dan melibatkan berjuta-juta pelancong China.

Selain itu Malaysia turut mengambil langkah menggantung kesemua aktiviti pelancongan dengan China termasuk sekatan sementara.

Pejabat Perdana Menteri sudah mengeluarkan kenyataan rasmi berbunyi:

“Berikutan dengan maklumat terkini, kerajaan mengambil keputusan menggantung sementara semua kemudahan imigresen iaitu eNTRY (kemudahan tanpa visa), visa semasa ketibaan, e-visa dan visa manual kepada rakyat China dari Wuhan dan wilayah Hubei di kelilingnya.

“Keputusan dibuat selepas mengambil kira perkembangan terkini kes jangkitan novel coronavirus 2019 (2019-nCoV) di negara China, khususnya di wilayah Hubei dan ia adalah berkuatkuasa serta merta.”

“Kerajaan sudah mengikut prosedur ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan mendapat nasihat pakar-pakar untuk menghadapi dan membendung jangkitan ini dari merebak dengan meluas.”

“Pemantauan sudah dibuat dari semasa ke semasa. Pelbagai pihak sedang melakukan usaha yang terbaik untuk mencegah sebarang penularan wabak.”

Lantas Datuk Tan Kok Liang menyatakan Malaysia sudah mulai merasai impak daripada perkara ini lebih lebih lagi disahkan sudah ada beberapa kes Koronavirus di Malaysia.

“Saya tidak fikir ia tindakan wajar bagi Matta untuk membuat anggaran impak, tetapi dijangka pembatalan [lawatan masuk dan keluar oleh China] boleh menyebabkan kerugian berjuta-juta dalam pendapatan daripada pelancongan,” kata Tan.

Beliau menyeru pengendali hotel, pelancongan dan syarikat penerbangan, serta penyedia perkhidmatan lain, agad mengamalkan dadar fleksibel dalam polisi pembatalan mereka.

Beberapa pengendali hotel di Johor telah menerima pembatalan daripada syarikat pelancongan China berikutan penggantungan itu.

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) cawangan Johor yang ada 108 ahli, telah mengesahkan perkara ini. MAH Johor mengesahkan mereka sudah mengambil langkah pencegahan di hotel mereka.

Sumber Berita: NST