Tindak balas pandemik sebenarnya turut memberi kesan yang besar terhadap perkembangan dan pertumbuhan sektor ekonomi digital. Menjelang tahun 2025, ekosistem digital Asia Tenggara dijangka bakal mempunyai potensi untuk menjana peluang pendapatan berjumlah US$23 bilion (RM97.5 bilion) berbanding kira-kira US$4 bilion (RM16.96 bilion) dua tahun lalu.
Kajian oleh firma EY Asean menunjukkan bahawa ekosistem digital berfokuskan pelanggan sedang terbentuk di seluruh Asia Tenggara. Sektor ini mempunyai keseragaman dari segi penyampaian nilai pada kepantasan dan skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Terdapat pertumbuhan pesat syarikat pemula (start up) dan natif digital. Beberapa peneraju natif digital di Asia Tenggara berubah menjadi platform super digital. Syarikat ini tidak hanya menumpukan kepada satu perkhidmatan sahaja tetapi memberikan perkhidmatan yang saling berkait melalui pengalaman dan kecekapan operasi.
Antara contoh integrasi perkhidmatan yang berlaku pada hari ini adalah perjalanan, penghantaran makanan, barang runcit, logistik, perkhidmatan kesihatan, gaya hidup dan kewangan.
Penggunaan nirtunai di Asia Tenggara meningkat
Pengguna di Asia Tenggara, sama seperti pengguna di seluruh pelusuk dunia menjangkakan kelajuan, responsif dan akses dengan pengalaman yang disesuaikan dengan kehendak mereka. Ini selaras dengan peningkatan mendadak penggunaan nirtunai pasca pandemik yang menokok kepada 85 peratus, menurut tinjauan VISA pada tahun ini.
Singapura mendahului dengan peningkatan sebanyak 98 peratus, diikuti dengan Malaysia sebanyak 96 peratus dan Indonesia sebanyak 93 peratus. Perluasan kaedah pembayaran ini meliputi pelbagai aspek penyertaan pada landskap ekonomi Asia Tenggara. Ia meliputi penggunaan kad debit, kad kredit, pembayaran menerusi telefon pintar, imbasan kod QR, serta dompet digital.
Ekosistem digital yang menyeluruh dapat membantu syarikat mencipta nilai melalui pertumbuhan pendapatan, memperoleh akses pasaran baharu lantas mengurangkan kos pemerolehan pelanggan. Kesemua ini akhirnya mengukuh dan mengekalkan hubungan pelanggan dengan syarikat yang memungkinkan proses perniagaan berjalan dengan lancar.
EY Asean juga memaklumkan bahawa sebanyak 39 peratus perusahaan di Asia Tenggara menunjukkan kemajuan besar ke arah transformasi digital. Manakala sebanyak 65 peratus syarikat di rantau ni akan memulakan perjalanan digitalisasi mereka dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Malaysia dan pasaran hadapan ekonomi digital
Sehingga Ogos 2021, 90.1 peratus daripada isi rumah di Malaysia kini dihubungkan melalui jalur lebar mudah alih dan tetap. Kerajaan melalui Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) menyasarkan untuk mencapai 100 peratus kebolehcapaian internet di seluruh isi rumah menjelang 2025.
Pada masa ini, ekonomi digital menyumbang 19.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. Unjuran menunjukkan jumlah tersebut bakal mencapai 20 peratus sehingga hujung tahun ini.
Biarpun Malaysia mempunyai syarikat pemula yang sedikit berbanding negara serantau lain, kematangan pasaran secara keseluruhan dan kesediaan tinggi untuk ekonomi digital bakal melonjakkan ekonomi digital Malaysia. Sasaran bagi sektor ekonomi digital untuk menyumbang 22.6 peratus kepada KDNK menjelang tahun 2025 tidaklah sukar untuk dicapai.