Berita baik semua, PeKa B40 masih beroperasi seperti biasa untuk tahun 2021.

Sepanjang tahun 2019 dan awal 2020, team PeKa B40 telah mengadakan program saringan kesihatan PERCUMA di pelbagai tempat setiap minggu.

Walaupun team PeKa B40 tidak boleh turun buat masa ini kerana COVID-19, itu bukan bermaksud yang skim sudah tiada.

Untuk saringan kesihatan PERCUMA buat mereka yang layak masih boleh dilakukan di klinik-klinik terpilih di seluruh Malaysia.

Pada yang baru sahaja mengetahui mengenai kewujudan program ini, kami kongsikan di sini apa itu Peka B40 dan apakah manfaat yang boleh anda terima melalui skim ini.

Apakah Peka B40?

Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) adalah satu inisiatif kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertujuan menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah, dengan memberi fokus terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD).

Ia bermula sebagai projek perintis dan dianggarkan dapat menampung 800,000 penerima sebagai permulaan.

PeKa B40 diwujudkan atas fakta-fakta berikut:

1. Beban Penyakit Tidak Berjangkit

47.6% kumpulan B40 berumur 40 tahun dan ke atas menghidapi sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit yang belum didiagnosis.

2. Kesihatan Mental

3 daripada 10 orang dewasa menderita masalah kesihatan mental. Kumpulan B40 mencatat kadar yang lebih tinggi, iaitu 32% berbanding 28% bagi kumpulan bukan B40.

3.Beban Kanser

Kes kanser semakin meningkat. Lebih membimbangkan lagi apabila 60% dikesan pada peringkat lewat, di mana peluang untuk sembuh adalah lebih rendah.

4.Rawatan Kanser

Ramai pesakit tidak melengkapkan rawatan kanser dan hanya kembali semula ke hospital apabila sudah tenat. Ini menipiskan peluang sembuh dan meningkatkan kos rawatan.

5. Kos Alat Perubatan

Walaupun rawatan di Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diberi subsidi yang tinggi daripada Kerajaan, sebahagian kos alat perubatan masih perlu ditanggung oleh pesakit seperti kos untuk perentak jantung, implan untuk tulang belakang, dan sebagainya. Ini menambah beban kewangan kepada mereka yang kurang berkemampuan.

6. Masalah Pengangkutan

Ramai pesakit yang kurang berkemampuan, terutamanya di kawasan pedalaman, tidak meneruskan rawatan akibat kekangan kewangan untuk membayar tambang pengangkutan.

Syarat Kelayakan

Skim ini ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang berada dalam lingkungan pendapatan isi rumah 40% terendah, yang dikenali sebagai kumpulan B40. 

Ia adalah percuma kepada penerima yang layak.

Kelayakan adalah berdasarkan kriteria berikut:

Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangannya yang berdaftar.

Berumur 40 tahun dan ke atas.

Penyertaan adalah secara automatik dan tiada pendaftaran diperlukan.

Untuk menyemak kelayakan secara online, anda boleh terus ke pautan ini: https://kelayakan.pekab40.com.my/semakan-kelayakan

Manfaat PeKa B40

Terdapat 4 manfaat utama melalui skim ini iaitu:

Saringan Kesihatan

Bantuan Alat Perubatan

Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser

Insentif Tambang Pengangkutan

Maklumat Lanjut

Untuk info terkini tentang Skim Peduli Kesihatan B40 ini, anda boleh follow media sosial rasmi PeKa B40 di Facebook & Twitter.

Jom semak kelayakan dan senarai klinik di  
https://www.pekab40.com.my/bm sekarang!