Laporan BBC menyatakan bahawa kelab-kelab bola sepak dari Premier League, English Football League dan juga Women’s Super League akan menyertai boikot media sosial selama empat hari berturut-turut. Boikot secara besar-besaran ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak seperti Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) dan juga badan anti diskriminasi Kick It Out (KIO). Boikot akan bermula pada 30 April dan berakhir pada 3 Mei 2021.

Sebelum ini, kelab bola sepak Swansea memulakan boikot yang sama tiga minggu yang lalu. Boikot selama seminggu itu turut disokong oleh seteru terdekatnya Birmingham City dan juga juara Liga Scotland, Rangers FC. Boikot itu dilancarkan akibat daripada cacian berbentuk perkauman yang diterima oleh tiga orang pemain utama mereka iaitu Jamal Lowe, Ben Cabango dan Yan Dhanda selama lebih dua bulan berturut-turut.

Boikot besar-besaran oleh badan-badan bola sepak kali ini turut mendapat sokongan daripada The Football Supporters’ Association, League Managers’ Association, Women in Football, Women’s Championship dan juga badan pengadil perlawanan iaitu Professional Game Match Officials Limited (PGMOL).

Mulai tengah hari 30 April, kesemua kelab bola sepak serta pemain mereka tidak akan menghantar apa-apa posting di media sosial sama ada Instagram, Facebook dan juga Twitter. Boikot ini merupakan tanda solidariti kepada pemain-pemain bola sepak yang sedang dibelenggu oleh serangan berbaur perkauman.

Sumber: