Seorang remaja perempuan di Kajang melalui kehidupan neraka ciptaan bapa kandungnya sendiri selepas dirogol sebelum dilacurkan kepada orang lain dengan bayaran RM100 seorang..

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Bryan Lai Wai Chong berkata, maklumat itu diperolehi pihaknya melalui keterangan diberitahu oleh ibu saudara remaja berusia 13 tahun terbabit.

“Saya dihubungi oleh ibu saudara mangsa berusia 30-an mengenai perkara itu, semalam, sebelum saya mengarahkan pegawai khas saya untuk membawa mangsa membuat pemeriksaan di Hospital Ampang.

“Pada masa sama, pegawai khas terbabit turut membantu ibu saudara mangsa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut

“Ibu saudara mangsa juga ada memberitahu bahawa remaja berkenaan dibayar RM100 daripada setiap pelanggan semasa dia dilacurkan oleh bapa kandungnya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Bryan berkata, mangsa kini ditempatkan di Hospital Ampang untuk pemeriksaan lanjut.

“Mangsa dijangka akan dibenarkan keluar dari hospital dalam tempoh beberapa hari lagi sebaik selesai pemeriksaan dilakukan.

“Sebaik keluar hospital nanti, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengambilnya untuk penjagaan sementara,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan kes itu selain memberikan sokongan moral kepada mangsa dan ibu saudaranya.

“Dalam keadaan ini, pastinya mereka memerlukan sokongan moral untuk meneruskan kehidupan. Justeru, pihak kami akan melawat mangsa untuk memberikan sokongan serta melihat perkembangannya.

“Kami menyerahkan sepenuhnya kes ini kepada polis untuk siasatan lanjut. Pada masa sama, saya berharap siasatan dilakukan pihak polis akan membawa kepada penahanan pihak yang terbabit dalam kes ini,” katanya.

Bapa remaja perempuan tersebut telah pun direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Bapa remaja perempuan tersebut (baju kelabu) dibawa ke Kompleks Mahkamah Kajang bersama pelanggan warga asing untuk direman. (Foto: NSTP)

Selain lelaki berusia 43 tahun itu, lima lelaki warga asing disyaki pelanggan turut direman selama tujuh sehingga 20 Julai.

Permohonan reman itu dibuat di Mahkamah Majistret Kajang pada 10 pagi, hari ini.

Difahamkan suspek utama ditahan di Pandan Indah, manakala lima lelaki warga asing itu pula ditahan dalam serbuan berasingan di Batu 9 Cheras dan Kajang, malam tadi.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan remaja perempuan berkenaan dirogol sejak berusia 10 tahun dan dilacurkan bapa kandungnya pada pertengahan 2019 hingga Februari lalu sebelum ibu saudara mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu, kelmarin.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 37B/372 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sumber: