Rancangan pelancongan mesra-Muslim, Fly With Yaya: Tohoku tersenarai dalam pencalonan kategori The Newcomer Award (Anugerah Pendatang Baru) dalam 2020 Licensing International Excellence Awards (Anugerah Kecemerlangan Perlesenan Antarabangsa 2020).

Anugerah tersebut dijangka akan mengumumkan pemenang anugerah tersebut pada Ogos nanti.

Selain The Newcomer Award, Licensing International Excellence Awards turut mempunyai 22 anugerah lain.

Anugerah yang telah dianjurkan sejak 1986 ini merupakan platform penghargaan kepada pencapaian industri kreatif dalam komuniti perlesenan global.

Antara industri yang diraikan oleh Licensing International Excellence Awards adalah industri kreatif, multimedia, fesyen, makanan dan teknologi.

Ini merupakan kali pertama produk Malaysia tercalon untuk anugerah The Newcomer Award, yang dimenangi oleh permainan video popular Fortnite pada tahun 2019.

Ia telah terpilih daripada 600 penyertaan lain yang terdiri daripada pelbagai syarikat ternama dari 22 buah negara termasuk The Coca-Cola Company, Puma, Shiseido, Mattel, Hasbro, Bandai, The Hershey Company dan banyak lagi.

Fly With Yaya: Tohoku diterbitkan secara bersama oleh syarikat produksi animasi tempatan Monsta, Creative Minds LLC. (beroperasi di Tokyo, Jepun) serta Yamagata Broadcast and Tohoku Inbound Associations.

Monsta merupakan syarikat produksi sama yang juga bertanggungjawab menerbitkan siri animasi TV dan francais filem BoBoiBoy.

Siri Fly With Yaya merupakan rancangan spin-off yang menampilkan Yaya, salah seorang karakter BoBoiBoy, yang melancong ke destinasi mesra Muslim. Dalam rancangan ini, Yaya menunjukkan aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan dan makanan yang boleh dicuba oleh pelancong Muslim.

via GIPHY

via GIPHY

Sambutan terhadap siri tersebut sangat menggalakkan sehingga mencatat jumlah tontonan sebanyak 21 juta kali di Monsta YouTube Network dalam tempoh 13 bulan sahaja.

Menurut kenyataan rasmi Monsta:

“Monsta mengambil masa selama 2 tahun untuk membina dan memperkukuhkan penjenamaan watak Yaya melalui siri Fly With Yaya sebagai usaha untuk membuktikan bahawa seorang watak Muslimah juga mampu menawan hati penonton dari serata dunia.

“Pencalonan dalam Licensing International Excellence Awards ini merupakan satu pengiktirafan besar buat Monsta serta menunjukkan bahawa watak-watak Muslim mampu mendapat tempat di media global.”

Monsta juga berharap pencalonan Fly With Yaya: Tohoku akan membuka lebih banyak peluang untuk jenama Monsta dan jenama dari Malaysia secara amnya di peringkat antrabangsa.

Rakan kerjasama Monsta di Jepun nyata sangat gembira dengan pencalonan rancangan tersebut dalam anugerah peringkat antarabangsa.

Pengurus Jabatan Yamagata Broadcasting, Hidekyuki Aoki berharap pengaruh Yaya dapat membantu mereka mempromosikan Tohoku sebagai destinasi pelancongan.

“Rantau Tohoku kurang mendapat perhatian selama ini. Kerjasama di antara pelbagai industri ini bermula daripada keinginan kami untuk mempromosi Tohoku. Kami berharap pengaruh Yaya mampu membawa kempen promosi rantau Tohoku ini lebih jauh ke hadapan.”

Anda boleh saksikan rancangan Fly With Yaya: Tohoku dalam video di bawah:

Baca juga artikel kami yang lain mengenai produk Malaysia yang mengharumkan nama negara: