Sebanyak 4,000 liter sisa kimia di dalam 40 buah tong ditemui di sebuah premis tidak berlesen di Taman Velox, Rawang dalam serbuan pihak berkuasa kelmarin.

Premis haram tersebut disyaki membuat pelepasan haram bahan buangan berjadual itu ke dalam sistem pembentungan sehingga menyebabkan pencemaran Sungai Selangor.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dalam serbuan tersebut, premis itu didapati telah mengalirkan buangan berpigmen yang disyaki sebagai buangan terjadual dalam sistem pembentungan Indah Water Konsortium (IWK) melalui lubang tandas dan ‘inspection chamber’.

“Penemuan awal mendapati bau bahan yang ditemukan sama seperti bau di Loji Rawatan Kumbahan IWK dan Loji Rawatan Air (LRA).

“Kesemua sampel telah diambil oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan akan dianlisis oleh Jabatan Kimia Malaysia,” tambahnya lagi.

pencemaran-sungai-selangor

Tuan Ibrahim berkata, premis itu telah disita oleh Majlis Perbandaran Selayang manakala empat suspek termasuk penyewa premis turut ditahan polis.

“Kementerian ingin mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati menjadi penyebab kepada pencemaran air sungai. Pengurusan buangan terjadual juga perlu diberi perhatian serius bagi mematuhi undang-undang dan garis panduan sedia ada.

“Buangan hendaklah dikitar semula atau dilupuskan di premis berlesen oleh JAS sahaja kerana buangan terjadual mempunyai ciri-ciri berbahaya yang boleh mendatangkan risiko kesihatan kepada manusia serta pencemaran air, udara dan tanah,” katanya.

Jika disabit kesalahan, beliau berkata tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 25, Seksyen 34A dan Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 50 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Semalam, Air Selangor memaklumkan operasi LRA Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas kerana pencemaran bau dan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang.

Sumber: