Menghormati ayat al-Quran serta hadith merupakan sebahagian daripada lambang keimanan seseorang. Walaupun cebisan ayat-ayat itu terdapat pada akhbar atau surat yang sudah lusuh, sewajibnya ia terus dihormati. Antara faktor al-Quran terpaksa dilupuskan ialah bila berlakunya kerosakan pada naskah tersebut. Contohnya naskah sudah berusia lama dan kertasnya mula rosak, basah akibat banjir, terkena api dalam kebakaran, tidak disimpan ditempat yang baik dan rapi serta dimakan oleh anai-anai.

Penulisan ini adalah bertujuan untuk dijadikan sebagai panduan bagi melaksanakan pelupusan teks al-Quran sebagai menjaga kehormatan ayat-ayat suci al-Quran.

Undang-undang khas tentang pelupusan al-Quran

Kredit gambar: https://www.hasrulhassan.com/2018/09/proses-cetak-quran-mushaf-malaysia.html

Sebagai sebuah negara yang memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan, Malaysia mempunyai undang-undang khusus yang mengawalselia proses percetakan teks al-Quran. Berdasarkan Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986, Seksyen 11 (1) Bahan Buangan Daripada Pencetakan Teks Atau Bahan Al-Quran memperuntukkan bahawa:

“Seseorang yang mencetak sesuatu teks Al-Quran atau bahan Al-Quran hendaklah mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan bahawa apa-apa bahan buangan yang di atasnya tercetak sesuatu ayat Al-Quran dimusnahkan dengan serta merta dengan membakarnya di suatu tempat bertutup yang tidak dapat dimasuki oleh orang awam dan tidak meninggalkan premis, dengan apa-apa cara pun, kecuali semasa ia dipindahkan ke suatu tempat untuk dimusnahkan.”

Undang-undang ini dikuatkuasakan sepenuhnya oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Sekiranya didapati bersalah, pesalah tersebut boleh didenda sehingga RM 5,000 atau 1 tahun penjara atau kedua-duanya.

Kaedah melupuskan naskah dan tulisan al-Quran

Bahan buangan atau lebihan yang mengandungi huruf atau ayat-ayat suci al-Quran hendaklah dilupuskan secara berasingan daripada bahan-bahan lain. Selepas dilupuskan, bahan buangan tersebut adalah dilarang untuk digunakan semula bagi apa-apa tujuan sekalipun.

Kaedah pelupusan sama ada secara pembakaran atau ditanam. Naskah al-Quran yang rosak, koyak, yang tidak boleh dibaca dan yang bukan Rasm Uthmani hendaklah dilupuskan. Kaedah pelupusan adalah dibakar di tempat yang dikawal dan ditanam ditempat yang dikawal. Ini adalah berdasarkan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-30 yang bersidang pada 22 Ogos 1992.

Garis panduan pembakaran bagi melupuskan teks al-Quran

Kredit gambar: https://www.sinarharian.com.my/article/27355/LIFESTYLE/Sinar-Islam/Cara-terhormat-lupus-al-Quran

Menurut Kementerian Dalam Negeri, berikut adalah garis panduan yang telah dikeluarkan bagi melupuskan teks al-Quran:

  1. Tempat pembakaran perlu ditempatkan di kawasan yang luas, terkawal dan terhindar daripada pandangan orang ramai yang memungkinkan berlakunya fitnah terhadap kesucian al-Quran.
  2. Sebelum proses pembakaran, bahan-bahan yang mudah terbakar perlu dijauhkan daripada tempat pembakaran tersebut.
  3. Kaedah pelupusan teks al-Quran adalah secara pembakaran yang menggunakan mesin incinerator yang mesra alam.
  4. Teks al-Quran yang dilupuskan hendaklah dibakar keseluruhannya tanpa tertinggal mana-mana bahagian yang tidak terbakar dan memastikan berat debu adalah tidak melebihi 5% daripada berat asal bahan yang
    dibakar.
  5. Cermin kaca yang mengandungi tulisan atau teks al-Quran hendaklah dihilangkan tulisannya menggunakan asid atau bahan lain yang bukan daripada najis.
  6. Plat aluminium yang mengandungi tulisan atau teks al-Quran hendaklah dihilangkan tulisan tersebut daripada kepingan plat berkenaan.
  7. Debu yang mengandungi teks al-Quran yang telah dibakar hendaklah dipastikan di kumpul supaya tidak ditiup angin atau bersepah.
  8. Debu tersebut hendaklah dimasukkan ke dalam bekas yang sesuai dan perlu dikawal kesuciannya supaya tidak ditiup angin atau berterbangan.
  9. Debu hendaklah dimasukkan ke dalam guni atau bekas dengan muatan setiap satu 1 guni tidak melebihi 15 kilogram samada untuk ditanam atau sebaliknya.
  10. Bahan yang telah dibakar hendaklah ditanam pada tempat yang bersih atau tempat yang tidak dilalui orang atau dibuang ke dalam laut/sungai yang mengalir airnya.
  11. Kerja-kerja pelupusan hendaklah dikawal selia oleh pegawai atau wakil Kementerian Dalam Negeri (Bahagian Percetakan al-Quran) atau Jabatan Agama Islam yang telah diberi kuasa oleh KDN.

Bagi orang awam pula, anda boleh menghantar naskah yang mahu dilupuskan tersebut ke pusat pelupusan naskhah al-Quran. Sebagai contoh, di negeri Perak terdapat pusat perlupusan di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) dan di Pahang pula terdapat Pusat Pemuliaan al-Quran kelolaan Jabatan Agama Islam Negeri Pahang.