Seperti Lamborghini dan Ferrari di Itali, pengeluar kereta nasional Proton Holdings Bhd akan menghasilkan pelindung muka untuk kegunaan petugas barisan hadapan di hospital-hospital kerajaan.

Pelindung muka (face protector) merupakan salah satu komponen penting bagi Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE)

Menurut laporan Bernama, operasi pengeluaran yang melibatkan kakitangan Proton itu dijangka bermula pada 13 April ini di ibu pejabatnya di Shah Alam. Syarikat itu menyasarkan penghasilan 60,000 pelindung muka dalam masa 20 hari.

Pengumuman ini bermakna Proton ini mengikut jejak beberapa syarikat automotif lain di dunia yang menggunakan kepakaran dan teknologi kilang mereka untuk menghasilkan set PPE untuk hospital.

“Sebagai jenama automotif kebangsaan, usaha Proton ini didorong oleh tanggungjawab untuk membangunkan industri kereta tempatan dan menyokong negara dan rakyat sekiranya mereka memerlukan sebarang bantuan.

“Syarikat mempunyai kepakaran untuk menghasilkan kereta. Oleh itu, kami menggunakan kelebihan itu untuk menghasilkan peralatan PPE dalam usaha menyokong barisan hadapan negara membendung penyebaran COVID-19,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Radzaif Mohamed dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata pelindung muka itu akan dihantar secara berperingkat. Proton juga akan bekerjasama dengan pihak kementerian untuk mengedarkan peralatan itu secara percuma mengikut tahap keperluan di setiap daerah.

Sebelum ini, syarikat itu meminjamkan 50 unit Proton X70 untuk kegunaan kakitangan Kementerian Kesihatan berikutan penularan COVID-19.

Sebelum pengumuman Proton ini, Rencah melaporkan Lamborghini dan Ferrari telah menukar beberapa bahagian dalam kilang mereka untuk menghasilkan set PPE untuk barisan depan wabak COVID-19 di hospital Itali.

Lamborghini menghasilkan face mask dan alat peralatan perlindungan peribadi (PPE) untuk kegunaan Hospital Sant’Orsola-Malpighi di Bologna.

Lamborghini turut memberitahu mereka akan membuat 1,000 face mask sehari di bahagian kilang yang membuat permukaan kulit kerusi dan ruang dalaman kereta mewah Itali itu.

Pada masa yang sama, sebanyak 200 pelindung muka polycarbonate akan dihasilkan Lamborghini setiap hari.

Pelindung muka ini akan dihasilkan di bahagian kilang yang menghasilkan bahan komposit kereta dan bahagian R&D yang mempunyai pencetak tiga dimensi (3D).

Baca juga artikel kami yang lain mengenai impak wabak COVID-19 kepada industri automotif sedunia: