Puteri Mako diberitakan bakal melepaskan gelaran dirajanya bagi mengahwini seorang rakyat biasa. Perkahwinan puteri keluarga diraja Jepun dengan rakyat biasa ini kembali menyelak kisah disebalik pagar Istana Maharaja di Tokyo.

Monarki tertua di dunia ini masih teguh berpegang kepada beberapa undang-undang dan pegangan yang mungkin dianggap ketinggalan. Antaranya, pewaris takhta dan jawatan maharaja hanya boleh dipegang oleh seorang lelaki. Selain itu juga, puteri keluarga diraja yang mahu berkahwin dengan rakyat biasa perlu melepaskan gelaran mereka.

Selepas pentadbiran 126 maharaja sepanjang 2,681 tahun, berikut merupakan kisah disebalik Singgahsana Chrysanthemum.

Maharaja kekal di takhta seumur hidup

Kredit gambar: TMI

Menurut Akta Pengurusan Diraja Jepun, seorang maharaja perlu berkhidmat sepanjang hayat. Tatkala Maharaja Akihito melepaskan takhta pada tahun 2019, baginda merupakan anggota monarki Jepun yang pertama melepaskan takhta diraja dalam tempoh dua abad.

Tindakan baginda mengulangi tindakan moyangnya, Maharaja Kokaku yang turun takhta pada tahun 1817. Anakanda sulung baginda, Putera Mahkota Naruhito kemudiannya mewarisi takhta diraja Jepun, sebagai maharaja baharu.

Akihito ketika menyampaikan ucapan secara langsung menerusi televisyen pada tahun 2016 menyatakan kebimbangannya mengenai faktor usia akan menyukarkan beliau untuk menunaikan tugasnya sebagai maharaja. Baginda pernah menjalani rawatan bagi merawat kanser prostat, selain menjalani rawatan jantung.

Ahli-ahli Parlimen Jepun akhirnya mengundi bagi pindaan Akta Pengurusan Diraja Jepun untuk membenarkan Maharaja Akihito melepaskan takhta. Namun, ia hanya terpakai kepada baginda sahaja.

Sistem monarki tertua di dunia

Kredit gambar: Motto

Jepun merupakan negara yang mengamalkan sistem monarki berparlimen, seperti Malaysia. Sebelum itu, ia mengamalkan sistem monarki mutlak.

Penggunaan kalendar Gregorian meletakkan jangka masa sistem monarki Jepun sepanjang 2,681 tahun. Mahajara Jepun yang pertama, Maharaja Jimmu mula memerintah negara matahari terbit itu pada tahun 660 SM.

Apabila Maharaja Naruhito naik takhta, baginda merupakan maharaja ke 126, melewati 250 era pemerintahan.

Amerika Syarikat menulis semula fungsi maharaja

Kredit gambar: China Daily

Selepas Jepun ditewaskan oleh kuasa Berikat dalam Perang Dunia Kedua, negara tersebut dijajah oleh Amerika Syarikat. Diketuai oleh Jeneral Douglas A. MacArthur yang dilantik oleh Presiden Harry Truman, Jepun melalui fasa perubahan. Penjajahan ini merupakan satu-satunya penjajahan kuasa asing terhadap Jepun.

Di bawah pemerintahan Amerika Syarikat, perlembagaan Jepun digubal dan ditulis semula. Sistem monarki dan maharaja dikekalkan namun kuasa baginda dikurangkan, tidak seperti sebelum Perang Dunia Kedua. Tiada lagi istilah kabinet perang, ia digantikan dengan kabinet biasa.

Menerusi Proclamation Defining Terms for Japanese Surrender atau lebih dikenali sebagai Postdam Declaration, sistem pemerintahan Jepun diubah. Jepun bersetuju dengan perubahan ini sebagai syarat-syarat penerimaan perletakan senjata selepas tewas dalam Perang Dunia Kedua. Demokrasi berparlimen diperkenalkan dengan kuasa penuh diberikan kepada parlimen yang dikenali sebagai Diet untuk menentukan hala tuju negara.

Maharaja Jepun ditakrifkan dalam perlembagaan sebagai simbol “perpaduan rakyat” dan tidak mempunyai kuasa politik.