Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa seluruh rakyat Malaysia supaya terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan bagi memastikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak kembali dilaksanakan.

Tidak dapat dinafikan, pelaksanaan PKP yang bermula 18 Mac lalu telah memberikan impak negatif terutamanya dari aspek ekonomi dan dilaporkan ramai yang kehilangan pekerjaan susulan arahan daripada kerajaan itu.

Pelaksanaan PKP ini jelas terbukti berkesan apabila terdapat penurunan kes yang begitu mendadak dicatatkan yang menyaksikan terdapat pelbagai kelonggaran sudah mula dinikmati oleh orang ramai.

Namun, kedegilan sesetengah pihak untuk mematuhi norma baharu telah menyebabkan peningkatan semula kes dan lebih merisaukan ia melibatkan kluster orang awam dan dalam jumlah yang ramai.

Keadaan itu tidak mustahil boleh menjurus kepada kembalinya semula penguatkuasaan PKP yang pastinya akan menjadi masalah kepada semua pihak.

Sehubungan dengan itu, Tan Sri Muhyiddin turut mengakui sektor ekonomi akan terus terjejas sekiranya perkara [PKP] tersebut berlaku.

“Jika kita semula kepada keadaan asal atau PKP sebelum ini, ekonomi kita akan pasti alami kesan lebih buruk.

“Rakyat sudah tentu tidak mahu kerajaan melaksanakan semula PKP secara menyeluruh apabila keadaan itu menyebabkan pelbagai masalah termasuk menjejaskan usaha pemulihan ekonomi,” ujar Muhyiddin menurut laporan Kosmo.

Susulan wabak berbahaya yang melanda, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM295 billion dalam usaha memulihkan ekonomi negara melalui pelbagai inisiatif yang memberikan manfaat kepada semua golongan di Malaysia.

Diharapkan seluruh rakyat Malaysia dapat mematuhi segala ketetapan SOP, memakai pelitup separuh muka di kawasan awam yang sesak serta menjaga penjarakan fizikal agar PKP tidak kembali lagi.

Kredit foto: Muhyiddin Yassin

Baca artikel lain yang berkaitan: