Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, termos ditakrifkan sebagai balang untuk menyimpan minuman. Ini bagi mengekalkan suhunya agar tetap panas dan sejuk.
Ciptaan ini merupakan idea seorang saintis Scotland bernama Sir James Dewar pada tahun 1904, 118 tahun yang lalu. Namun begitu, kelalang ciptaannya bukan bertujuan untuk kegunaan orang awam seperti hari ini.
Pada hari ini, jenama Thermos dikenali di seluruh dunia. Ia merupakan paten yang berdaftar dengan undang-undang di 115 buah negara.
Namun begitu, populariti jenama Thermos sebenarnya jauh lebih besar. Tanpa mengira jenama, balang yang mampu mengekalkan suhu minuman biasanya secara generik digelar sebagai termos.
Ini kisah jenama popular yang lahir di makmal Royal Institution of Great Britain.
Bermula sebagai kelalang Dewar
Dalam kalangan saintis, kelalang atau flask ini lebih dikenali sebagai kelalang Dewar. Ini bagi mengiktiraf jasa dan ciptaan Sir James Dewar.
Kelalang merupakan bekas yang diperbuat daripada kaca untuk mengisi cecair. Ia banyak digunakan semasa eksperimen di dalam makmal.
Ciptaan James Dewar ini bermula pada tahun 1892 dengan kajiannya terhadap cryogenics. Bagi memudahkan simpanan bahan kimia, Dewar mencipta kelalang dengan dua lapisan kaca yang mempunyai ruang vakum di antara kaca tersebut.
Proses isolasi udara di ruang tersebut membolehkan bahan kimia kekal disimpan pada suhu sejuk yang diperlukannya. Namun begitu, Dewar menolak untuk memfailkan paten bagi hasil ciptaannya.
Reinhold Burger dan Albert Aschenbrenner melihat ciptaan kelalang Dewar dan mendapat idea perniagaan.
Kelahiran Thermos pada 1904
Bekerja sebagai pereka kelalang Dewer di kilangnya, Reinhold Burger memahami idea James Dewer. Bersama-sama Albert Aschenbrenner, mereka menghasilkan pula termos daripada idea Dewer itu untuk kegunaan harian.
Nama Thermos diambil bersempena pertandingan menamakan produk baru tersebut. Thermos diambil daripada perkataan Therme dari Greek yang bermaksud haba.
Berbeza dengan idea asal kelalang Dewer yang mahu mengekalkan suhu sejuk, Thermos dilihat berjaya menarik minat pengguna. Apabila James Dewer mengetahui bahawa Reinhold Burger menciplak ideanya, beliau mula menyaman Thermos. Namun, tanpa paten yang dibuat sebelumnya, Dewer tewas di mahkamah.
Pada hari ini, Thermos lebih dikenali sebagai jenama Amerika Syarikat. Ini kerana pelabur awalnya bernama William B Walker mula membuka kilang secara besar-besaran di Brooklyn, New York. Reinhold Burger turut menurunkan ilmunya sebagai pereka kaca di sana.
Jenama Thermos bertukar tangan sebanyak beberapa kali selepas itu. Pada hari ini, jenama Thermos dimiliki oleh Nippon Sanso Holdings Corporation dari Jepun.