Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub berkata, larangan pergerakan kepada orang ramai untuk bergerak melebihi radius 10 kilometer dari kediaman mereka di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak lagi terpakai.
Namun, katanya, pergerakan namun rentas negeri masih belum dibenarkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa hari ini.
“Tidak ada lagi radius 10 kilometer dalam peraturan PKPB. Tidak ada lagi.
“Bagaimanapun, larangan pergerakan merentas negeri masih berkuatkuasa. Masih belum dibenarkan dalam PKPB ini,” katanya pada sidang medianya di Putrajaya hari ini.
Orang ramai dinasihatkan agar memuat turun aplikasi terkini Gerak Malaysia versi 2.0 di telefon pintar menerusi Play Store dan App Store bagi pergerakan rentas sempadan negeri.
Aplikasi tersebut dibangunkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Selain mengunakan aplikasi tersebut, anda juga boleh:
1. Muat turun Permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di pautan Facebook berikut: Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Police)
2. Mengisi borang tersebut dengan lengkap dalam dua (2) salinan.
Bagi yang tiada kemudahan telefon pintar dan rangkaian internet, anda perlu melakukan perkara berikut untuk melakukan pergerakan rentas sempadan negeri:
1. Menghubungi balai polis berhampiran bagi tujuan temu janji untuk penyerahan borang.
2. Menghantar dua (2) borang yang telah lengkap di balai polis untuk proses kelulusan.
Orang ramai yang telah mendapat kelulusan boleh membuat pergerakan masing-masing seperti ketetapan berikut:
a. Pergerakan untuk pulang dari Kuala Lumpur adalah pada 7 Mei 2020 (Khamis),
b. Pergerakan untuk pulang dari Perak, Johor dan Kelantan adalah pada 8 Mei 2020 (Jumaat),
c. Pergerakan untuk pulang dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang adalah pada 9 Mei 2020 (Sabtu), dan
d. Pergerakan untuk pulang dari Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu adalah pada 10 Mei 2020 (Ahad).
Perlu diingatkan bahawa pergerakan untuk pulang ke kediaman masing-masing ini dilakukan pada hari yang telah ditetapkan sahaja.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan bagaimanapun menegaskan, pergerakan rentas sempadan negeri menggunakan aplikasi mudah alih itu hanya dibenarkan kepada dua kategori individu sahaja.
Kedua-dua kategori berkenaan ialah:
- Individu yang terkandas di kampung atau tempat-tempat lain untuk pulang semula ke rumah masing-masing.
- Individu yang kembali ke tempat kerja sahaja.