Pada 14 Januari yang lalu, Kumpulan AirAsia Berhad dikategorikan oleh Bursa Malaysia sebagai syarikat Nota Amalan 17 (PN17). Menurut laporan media, penyenaraian ini adalah disebabkan kumpulan tersebut menepati beberapa kriteria untuk diletakkan di dalam kategori tersebut.

Secara mudahnya, kategori PN17 sering diberikan kepada syarikat disenarai di Bursa Malaysia yang mengalami tekanan kewangan. Selain daripada Kumpulan AirAsia, terdapat 22 buah syarikat lain yang turut tersenarai di dalam PN17. Sebagai contoh, Konsortium Transnasional Berhad, Nationwide Express Holdings Berhad dan TH Heavy Engineering Berhad.

Sekiranya sesuatu syarikat dimasukkan ke dalam kategori tersebut, ia bakal berhadapan dengan risiko dinyahsenarai daripada penyenaraian Bursa. Syarikat tersebut kemudiannya perlu mengemukakan perancangan bagi penstrukturan semula kedudukan kewangan. Ini bagi memperbaiki prestasi dan kedudukan kewangan syarikat terbabit.

Perancangan tersebut pula perlu diluluskan oleh Bursa untuk mengelakkan syarikat dari dinyahsenarai.

Maksud kategori PN17

Kredit gambar: Bernama

Bukan mudah untuk sesebuah syarikat disenaraikan di Bursa Malaysia. Maka, proses nyahsenarai juga memerlukan beberapa langkah susulan. Berikut merupakan ciri-ciri syarikat yang boleh dinyahsenarai dari Bursa menurut Nota Amalan 17:

  • Ekuiti terkumpul pegangan saham oleh syarikat yang tersenarai itu berada pada atau kurang daripada 25% daripada modal berbayar (paid-up capital);
  • Penerima atau pengurus dilantik untuk menguruskan aset syarikat atau anggota syarikat dengan nilai terkumpul lebih 50% daripada aset syarikat;
  • Anak syarikat dan syarikat bersekutu gulung tikar sehingga 50% nilai terkumpul daripada aset syarikat; dan
  • Juruaudit mempunyai pendapat yang tak memihak kepada syarikat dalam laporan kewangan.

Namun begitu, sebagai badan yang berkuasa untuk menjaga dan mengawal selia pasaran saham di Malaysia, Bursa Malaysia akan sentiasa mengemas kini senarai syarikat dengan status PN17. Ini merupakan langkah perlu oleh Bursa bagi memastikan transaksi yang dilakukan dalam pasaran saham berlaku dengan maklumat yang telus.

Status PN17 AirAsia dan langkah seterusnya

Kredit gambar: FMT

Kumpulan AirAsia mencetuskan kriteria penggantungan PN17 sejak Julai 2020 lagi. Ini selepas juruaudit luarannya, Ernst & Young menerbitkan pandangan audit tanpa syarat dengan ketidakpastian material berkaitan penyata kewangan terauditnya untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember.

Dek kerana pandemik, AirAsia telah mencatatkan kerugian dalam dua tahun kewangan terakhir. Ini apabila syarikat penerbangan tersebut merekodkan kerugian bersih RM283 juta pada tahun kewangan 2019 dan RM5.89 bilion pada tahun kewangan 2020.

Mengikut suku kewangan, AirAsia juga telah rugi untuk tujuh suku kewangan berturut-turut. Kedudukan ekuiti pemegang sahamnya juga berada pada kedudukan negatif iaitu -RM3.2 bilion pada akhir suku ketiga 2021.

Namun, ia tidak tidak bermakna AirAsia sudah muflis. Terdapat banyak langkah yang boleh diambil oleh syarikat tersebut bagi mengeluarkan mereka dari senarai PN17.

AirAsia boleh menyenaraikan aset digitalnya yang ketika ini dinilaikan pada $1.2 bilion USD atau RM5.2 bilion. Selain itu juga, syarikat penerbangan itu boleh memecahkan akaun AirAsia Indonesia dan AirAsia Filipina atau menjual aset mereka termasuk bahagian penyelenggaraan, pembaikan dan operasi.