Perdana Menteri New Zealand dilaporkan sedang merancang untuk membenarkan kemasukan pelancong ke negara tersebut tanpa kuarantin bagi mereka yang telah lengkap menerima vaksin. Menurut Jacinda Arden, selain daripada status penerimaan vaksin, antara syarat yang bakal dikenakan adalah meneliti penilaian risiko negara asal pelancong tersebut.

Negara asal ataupun negara yang pernah dikunjungi oleh pelancong tersebut bakal dibahagikan kepada tiga tahap risiko iaitu rendah, sederhana dan tinggi. Berdasarkan penilaian risiko tersebut, kerajaan New Zealand akan menentukan sama ada pelancong tersebut tidak perlu menjalani kuarantin, melaksanakan pengasingan diri atau kuarantin wajib 14 hari.

Pelancong dari negara berisiko rendah yang sudah lengkap divaksin boleh melakukan perjalanan tanpa kuarantin manakala mereka yang datang dari negara berisiko sederhana dan tinggi perlu melaksanakan pengasingan kendiri ataupun menjalani kuarantin wajib selama dua minggu.

Status pandemik di New Zealand

Kredit gambar: https://time.com/5824042/new-zealand-coronavirus-elimination/

Seperti kebanyakan negara yang lain sehingga hari ini, kerajaan New Zealand masih belum dapat untuk membuka sepenuhnya pintu sempadan negara tersebut. Penelitian yang sedang dipertimbangkan oleh negara tersebut adalah risiko penularan varian mutasi Delta dan Lambda yang sedang melanda negara-negara lain di dunia.

Sehingga 11 Ogos 2021, Our World in Data merekodkan sebanyak 2,913 kes Covid-19 dicatatkan di New Zealand. Daripada jumlah tersebut, hanya sebanyak 26 kematian direkodkan. Sepanjang 14 hari yang lalu juga, hanya terdapat 46 kes Covid-19 dicatatkan di negara tersebut. Kematian terakhir pula direkodkan pada 15 Februari iaitu satu kematian.

Sebanyak 848,406 orang rakyatnya telahpun lengkap menerima dua dos vaksin, mewakili 17.1 peratus daripada keseluruhan penduduk New Zealand.

Gelembung perjalanan tanpa kuarantin dengan Australia

Kredit gambar: https://www.abc.net.au/news/2021-04-08/new-zealand-travel-bubble-australia-coronavirus/100053260

New Zealand sebelum ini merupakan negara pertama yang meluluskan gelembung perjalanan bebas kuarantin dengan Australia yang bermula pada 18 April tahun ini. Langkah itu diambil bagi membenarkan perjalanan antara rakyat kedua-dua negara selepas hanya merekodkan 26 kematian dalam populasi lima juta bagi penduduk New Zealand dan Australia pula merekodkan kurang 1,000 kematian dalam populasi 25 juta orang.

Gelembung perjalanan tersebut dibenarkan selepas lebih setahun New Zealand menutup sempadan negaranya. Australia adalah sumber pelancong antarabangsa terbesar di New Zealand sebelum pandemik melanda dunia, dengan menyumbang kira-kira 1.5 juta atau 40 peratus daripada jumlah pengunjung pada 2019.

Idea gelembung perjalanan diikuti rundingan berbulan-bulan antara dua negara jiran yang bebas coronavirus ini sebenarnya dipuji sebagai tonggak utama dalam memulakan semula industri pelancongan global yang lumpuh akibat pandemik.

Pelancongan sebagai penyumbang ekonomi utama

Kredit gambar: https://www.localguidesconnect.com/t5/General-Discussion/Photo-of-the-Week-Aoraki-Mount-Cook-National-Park-by-Local-Guide/td-p/1233242

Industri pelancongan merupakan eksport utama New Zealand sebelum pandemik. Pelancongan mewakili 20.1 peratus daripada keseluruhan eksport negara tersebut dengan perbelanjaan pelancong di negara tersebut adalah sebanyak US$41.9 bilion (RM177.5 bilion)  setahun ataupun US$115 juta (RM487.3 juta) sehari.

Industri ini juga menyuntik KDNK New Zealand secara langsung sebanyak US$16.4 bilion (RM69.4 bilion), ataupun 5.5 peratus dan secara tidak langsung sebanyak US$11.3 billion (RM47.8 bilion), iaitu tambahan sebanyak 3.8 peratus. Seramai 225,384 penduduk New Zealand bekerja secara terus dengan industri ini, manakala 158,802 pekerja mendapat limpahan tidak langsung daripada ekonomi pelancongan.

Bagi sebuah negara kepulauan yang hanya memiliki 5 juta penduduk, jumlah tersebut mewakili 13.6 peratus daripada keseluruhan jumlah tenaga kerjanya.