Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memasuki fasa ke-4 yang juga merupakan fasa pemulihan.

Terkini, kerajaan telah memutuskan semua syarikat yang diberi kebenaran beroperasi ketika PKP diberi kebenaran untuk menjalankan operasi pada kapasiti penuh tanpa sebarang sekatan.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata kebenaran itu bagaimanapun tertakluk kepada kewajipan syarikat mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Inisiatif itu diharap dapat memberi anjakan kepada pemulihan sistem rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan bagi memenuhi permintaan domestik dan juga luar negara.

“Kebenaran ini berkuatkuasa mulai esok. Syarikat yang telah diluluskan untuk beroperasi tidak lagi perlu memohon kepada MITI untuk mendapatkan kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut berkata kegagalan mana-mana syarikat mematuhi SOP akan menyebabkan kebenaran beroperasi yang telah diberi akan dibatalkan serta merta dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Ini tentunya akan memberi impak positif kepada pendapatan syarikat khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).”

Walaupun kerajaan telah memberi kelonggaran kepada syarikat untuk menjalankan operasi sepenuhnya, rakyat dan pemilik perniagaan diseru agar memulakan ‘kebiasaan baharu’ dengan mematuhi penjarakan sosial di tempat kerja, menjaga kebersihan diri dengan sentiasa membasuh tangan dan patuhi garis panduan kawalan kesihatan yang diberikan kerajaan.

Beliau berkata, penularan wabak pandemik COVID-19 memberi kesan besar kepada kesihatan rakyat dan juga ekonomi negara, sekaligus menyaksikan kerajaan mengambil langkah proaktif khususnya pelaksanaan PKP bagi membendung penularan wabak itu.

Syarikat dibenarkan boleh beroperasi sepenuhnya dalam PKP Fasa ke-4

Katanya lagi, kerajaan juga bertanggungjawab dalam memulihkan ekonomi negara termasuk melindungi mata pencarian rakyat, di mana usaha itu adalah untuk membina semula ekonomi yang mampan, berdaya saing, serta mengembalikan keyakinan pelabur dan menjamin peluang pekerjaan.

“Usaha memerangi COVID-19 belum berjaya sepenuhnya tetapi kita telah dapat melandaikan keluk (curve) ke tahap yang terkawal. Namun, kita tidak seharusnya alpa dan akan terus berusaha sedaya upaya untuk menjamin kesihatan dan keselamatan rakyat,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang bersidang membincangkan kedudukan terkini ekonomi dan kewangan negara, kelangsungan perniagaan dan kesejahteraan rakyat.

Mesyuarat meneliti kajian dan cadangan yang dibentangkan oleh Kementerian Kewangan, MITI, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Khazanah Nasional, selain disertai Kementerian Kesihatan (KKM) yang diwakili oleh Menteri Kesihatan serta Ketua Pengarah Kesihatan yang membentangkan pandangan dan maklum balas di atas perkara yang dibincangkan.

“Perbincangan semalam tertumpu kepada keperluan untuk memulakan semula (restarting and reviving) rantaian bekalan ekonomi secara menyeluruh yang dapat membantu perniagaan untuk meneruskan operasi sepenuhnya, membina semula stok yang terjejas serta membolehkan penyampaian perkhidmatan dan barangan yang efisyen kepada pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, keputusan mesyuarat EAC dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bersidang pada pagi tadi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta turut dihadiri oleh semua Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri.

Baca juga artikel-artikel menarik yang lain:

Sumber: